-

-

Wednesday, January 22, 2014

KENYATAAN MEDIA PEMUDA SOSIALIS 23 DISEMBER 2013

KENYATAAN AKHBAR

PEMUDA SOSIALIS: 23/12/2013

 

 

PEMUDA SOSIALIS MALAYSIA: TURUN Berjuang Bersama Rakyat!


Pemuda Parti Sosialis Malaysia menyatakan sokongan penuh kepada Perhimpunan Membantah Kenaikan Harga Barangan pada malam 31 Disember ini.

Kenaikan harga barangan membuatkan ekonomi rakyat menjadi tenat sementara kerajaan pula nyata gagal dalam menyediakan satu mekanisma penyelesaian kepada kemelut kenaikan harga barangan dan kos sara hidup rakyat ini.


Malah kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi & Kepenggunaan yang menyatakan bahawa rakyat Malaysia telah bersetuju dengan kenaikan harga barangan memandangkan tidak ada rungutan mengenainya adalah umpama menabur garam pada luka rakyat.

Perhimpunan ini tidak sama sekali perlu ditafsirkan satu perhimpunan yang bersifat mahu gulingkan kerajaan sebaliknya perhimpunan ini adalah medan buat rakyat marhaen untuk berhimpun secara demokrasi dan memberikan isyarat jelas kepada kerajaan bahawa rakyat sudah tidak boleh bersabar lagi dengan penindasan demi penindasan yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional ini.


Medan perhimpunan ini juga merupakan platform buat seluruh rakyat Malaysia untuk berhimpun dan menyuarakan bantahan terhadap pelaksaan cukai barangan dan perkhidmatan pada tahun 2015 nanti. Kenaikan kos sara hidup terutamanya cukai GST ini, kenaikan harga barangan yang sudah tidak dapat dikawal lagi oleh kerajaan, kenaikan tarif elektrik, kenaikan kos perkhidmatan dan pelbagai lagi kenaikan yang bakal mewarnai ekonomi negara 2014 merupakan sebab mengapa rakyat Malaysia memilih untuk berhimpun pada 31 Disember ini.


Tindakan kerajaan melalui Pelan Rasionalisasi Subsidi serta cukai perkhidmatan dan barangan (GST) sedikitpun tidak memberikan apa-apa faedah kepada rakyat marhaen selain menjadikan mereka lebih miskin dan melarat. Tindakan ini umpama menjerut rakyat marhaen hidup-hidup sementara kerajaan terus berboros, biarkan ketirisan berlaku serta mengkayakan kroni mereka sahaja.


Perhimpunan ini juga perlu dilihat sebagai kebangkitan anak-anak muda yang tampak bersedia untuk menolak Pemuda Barisan Nasional yang pesimis dan gagal menyakinkan anak-anak muda bahawa kononnya dasar-dasar kerajaan akan membawakan faedah jangka panjang buat rakyat marhaen. Malah, hingga kini Pemuda Barisan Nasional kelihatan lesu dan tidak berani untuk berdebat dengan rakyat mempertahankan segala dasar dan polisi kerajaan yang sedikitpun tidak menguntungkan rakyat.


Pemuda Sosialis PSM bersama-sama rakyat marhaen akan TURUN berhimpun secara aman dan secara demokrasi seperti apa yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan negara dan perhimpunan ini adalah perhimpunan kebangkitan rakyat marhaen dalam melawan penindasan regim Barisan Nasional.


Hidup rakyat!


Disediakan oleh

KS Bawani

Ketua Pemuda Sosialis

Parti Sosialis Malaysia

 

No comments:

Post a Comment