-

-

Wednesday, January 22, 2014

KENYATAAN MEDIA PEMUDA SOSIAL 23 DISEMBER 2013

KENYATAAN MEDIA 23 DISEMBER 2013


BUKAN TAN SRI HASMY AGAM TETAPI PERDANA MENTERI YANG PERLU MELETAKKAN JAWATAN!


Pemuda Sosialis, Parti Sosialis Malaysia memandang serius kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Presiden Gabungan Bela Hak Insan Pulau Pinang (Gabungan), Mohamed Hafiz Mohamed Nordin yang meminta kerajaan untuk mengkaji semula kedudukan Tan Sri Hasmy Agam sebagai Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).


Laporan terkini dari Bank Dunia bertajuk "Malaysia Economic Monitor: December 2013" mendedahkan jumlah pendapatan kerajaan Malaysia sebanyak RM1.4 bilion adalah hasil penjualan aset, manakala RM4.2 bilion pula berupa sekuriti hutang daripada aset-aset negara. Penjualan aset negara ini adalah sesuatu yang amat serius. Ini belum lagi mengambil kira ketirisan pengurusan wang rakyat melibatkan agensi kerajaan seperti yang didedahkan dalam Laporan Audit Negara baru-baru ini apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengalami kerugian bernilai RM33 juta akibat kehilangan aset PDRM, sementara Jabatan Kastam pula melupuskan 7,659 pasang kasut kerana tidak mengikut spesifikasi di mana kerugian dianggarkan RM 602, 089. Paling hebat apabila Kementerian Belia dan Sukan membelanjakan RM1.6 juta untuk membawa masuk kumpulan K-pop ke negara ini.


Kebebasan media di negara ini pula dicabul apabila The Heat digantung. Walaupun Kementerian Dalam Negeri menafikan sekeras-kerasnya bahawa penggantungan The Heat tiada kaitan dengan laporan mengenai perbelanjaan boros Perdana Menteri dan isteri Perdana Menteri namun soal utamanya ialah mengapa media dinegara ini masih dibelenggu dengan kebebasan yang berantai ini dan dihukum sekiranya tidak mengikut rentak permainan politik kerajaan Barisan Nasional?


NGO Gabungan juga seharusnya mengutuk Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA – Trans-Pacific Partnership Agreement). Sekiranya Malaysia menandatangani perjanjian itu, kesan buruk mutlak adalah kehidupan rakyat marhaen akan terjejas memandangkan banyak aktiviti ekonomi melibatkan perniagaan dan perdagangan antarabangsa tidak dapat dikawal sekaligus memberikan impak kepada maruah dan kedaulatan negara. Pemuda Sosialis menggesa kerajaan untuk mendedahkan teks perjanjian yang sedang dirundingkan dengan kuasa besar ekonomi dunia, Amerika Syarikat untuk pengetahuan umum?


Kenaikan kos sara hidup terutamanya cukai GST yang akan diimplementasikan pada tahun 2015, kenaikan harga barangan yang sudah tidak dapat dikawal lagi oleh kerajaan, kenaikan tarif elektrik, kenaikan kos perkhidmatan dan pelbagai lagi kenaikan yang bakal mewarnai ekonomi negara 2014 juga seharusnya diberikan perhatian. Malah, penganalisis ekonomi negara pula meramalkan bahawa ekonomi Malaysia akan bertambah teruk dengan tindakan kerajaan melalui Pelan Rasionalisasi Subsidi serta cukai perkhidmatan dan barangan (GST) yang hanya akan membawa kepada kemelesetan ekonomi dalam tempoh tidak sampai tiga tahun akan datang. Ini umpama menjerut rakyat marhaen hidup-hidup sementara kerajaan terus berboros dan biarkan ketirisan berlaku.


Justeru, Pemuda Sosialis menyeru NGO Gabungan ini untuk membuka minda melihat kepada realiti isu-isu yang membelenggu rakyat ini serta berhenti daripada membuat cubaan untuk mengalih fokus rakyat daripada isu yang sebenar.


Pemuda Sosialis menuntut pembaharuan dalam kerajaan dengan mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatan dalam usaha menyelamatkan negara daripada krisis ekonomi.

 

KS BAWANI

Ketua Pemuda Sosialis

Parti Sosialis Malaysia

No comments:

Post a Comment