-

-

Tuesday, January 13, 2009

Salam Perjuangan dari Australia


Hi Komrad2,


Kelas ideology sudah bermula sejak semalam lagi dan banyak masa terpaksa diluangkan untuk proses pembacaan dan lebih sedozen buku rujukan telah diberikan bersama soalan-soalan untuk diperbincangkan dalam tempoh satu minggu ini.


Sementara itu, proses mobilisasi untuk protes pada hari Ahad depan juga kelihatan berjalan lancar dan komrad2 di sini jelas sangat sibuk dengan mesyuarat dan sebagainya.

Semalam, saya juga sempat menyaksikan satu protes kesatuan yang diadakan di hada

pan satu kawasan pembinaan berdekatan bangunan DSP di mana mereka menunjukkan tunjuk perasaan terhadap kekejaman syarikat John Holland Group dalam isu pekerja (Dua pekerja terbunuh semasa bekerja di kilang). Beberapa pekerja Filipina mengambil bahagian dalam protes dengan sokongan komrad dari kesatuan CFMEU ( Constuction Forestry Mining Energy Union). Apa yang menarik mengenai komrad ini ialah beliau pernah membuat protes di luar kilang yang memecat dia selama 441 hari dan akhirnya dia berjaya mendapat kerjanya balik.


Laporan lengkap mengenai isu mereka serta temuramah den gan Komrad Barry dari CFMEU yang akan saya kepilkan dalam kertas kerja nanti.


Hidup Pekerja Hidup Perjuangan


Karti

Pemuda Sosialis

Sunday, January 11, 2009

Perkembangan di Australia - Karti



--- On Mon, 1/12/09, Kartimn <sboyzss@gmail.com> wrote:

Lawatan Sambil Belajar Ke Australia – 8/1/09

Salam Perjuangan Saudara Sekalian,


Terlebih dahulu maafkan saya kerana lambat menhantar perkembangan disini kerana masalah internet dan kesibukan semua pihak dalam perjalanan mesyuarat Nc. Untuk pengetahuan komrad sekalian, perjalanan ke Australia mengambil masa yang panjang dan diletihkan lagi dengan birokrasi pihak kastam yang mengambil masa lebih setengah jam memeriksa beg dan komputer bimbit, besar kemungkinan setelah melihat baju Che Guevara saya. Lega juga akhirnya apabila Komrad Lisa menyambut saya dengan senyuman jujur pertama di bumi Australia.

Saya dibawa ke ibu pejabat DSP di Resistance Centre, Chippendale, Sidney dan diperkenalkan dengan komrad-komrad lain yang jelas sibuk dengan persiapan untuk mesyuarat pada hari keesokannya. Saya hanya dapat mengenali Komrad Peter Boyle, Setiausaha Nasional DSP yang pernah membuat kunjungan solidariti ke Malaysia sebelum ini. Saya diperkenalkan dengan ramai komrad daripada seluruh Negara yang datang khususnya untuk mesyuarat NC mereka.

Di satu penjuru pula, beberapa komrad dari pasukan surat khabar parti, Green Left (GL) sibuk membuat persiapan untuk mesyuarat NC. Bersama-sama mereka ialah kumpulan anak muda, Resistance yang terlibat dalam kerja-kerja mobilisasi untuk protes besar yang ketiga menentang massacre regim Zionis di Gaza. Protes ini akan diadakan pada 18 Januari ini.

Pada petangnya pula, satu kumpulan editor GL pula bersiap sedia untuk menjual surat khabar edisi khas Gaza di pekan berhampiran. Saya menawarkan diri untuk bersama mereka dan mereka sangat gembira. Tempat yang kami singgah ialah Auburn di mana ia menjadi tumpuan rakyat pelbagai etnik di mana saya diberitahu bahawa rakyat dari suku kaum arab merupakan komposisi kedua terbesar di Australia. Kami sempat menjual 55 helai akhbar GL dalam masa kurang satu jam setengah dan ini banyak dibantu dengan isu khas yang diedit serta kemasukan ruangan translasi dalam bahasa arab dalam akbar tersebut. Seterusnya saya dibawa bermalam di rumah Komrad Brianna (full timer parti) yang terletak lebih kurang 15 minit perjalanan dari pejabat DSP.

Hari kedua merupakan permulaan mesyuarat NC mereka dan pelbagai isu dibincangkan secara komprehensif dan ada pada satu ketika saya dapat merasa kehangatan dan persamaan perbincangan seperti kita di PSM. Isu yang dibincangkan ialah meliputi :

  1. Isu antarabangsa - (teringat Chun Kai) apabila seorang komrad muda , Stuart M melaporkan kertas kerja mereka dan isu yang dibincangkan adalah lebih umum kepada permasalahan yang wujud di seluruh dunia. Antaranya ialah pertempuran di Gaza, kerajaan ala sosialis di Venezuela, kemenangan Obama di US, revolusi Cuba dan banyak lagi.
  2. Politik Australia dan Ulasan Kempen – dimana Komrad Margarita melaporkan isu politik tempatan yang berlaku daripada kemenangan Parti Buruh yang masih mengamalkan polisi neo liberalnya sehingga kempen nasional yang telah dijalankan seperti protes Gaza I dan II
  3. Seterusnya, kertas kerja ~Pembinaan DSP dibentangkan oleh Komrad Will yang antara lainnya mengetengahkan cabaran DSP untuk tahun baru ini serta kesan daripada perpisahan kumpulan minority yang menubuhkan parti sendiri. Juga diketengahkan peranan DSP dalam Socialist Alliance (SA) ( satu gabungan seperti JERIT di mana satu usaha mengabungkan semua kumpulan berfahaman lain untuk memobilisasi rakyat).
  4. Keesokannya – topic pertama pada pagi ialah Pembinaan SA di mana perbincangan hangat mula wujud dengan isu tahap penglibatan DSP di SA, hubungan antara DSP dan SA serta menambahkan kuantiti ahli SA.
  5. Topik yang lebih komplikasi seterusnya ialah Anak Muda dan DSP. Kumpulan Resistance berkata mereka akan berusaha lebih dalam pembinaan semula kumpulan ini terutamanya dalam penglibatan dalam kempen dan sebagainya. Penglibatan mereka dalam GL juga sangat menarik. Tumpuan utama mereka lebih kepada mobilisasi anak muda di Universiti tetapi kumpulan seperti Socialist Alternative juga terlibat dalam usaha tersebut tetapi ditegaskan bahawa hanya Resistance shj yang mampu memberi satu perspektif yang jelas dan diteruskan kepada aksi massa. Jesteru, usaha yang cepat harus diambil untuk menambahkan ahli serta lebih aktif.

Saya juga sempat menemubual beberapa komrad dari luar Sidney secara informal dan ringkas mengenai isu-isu yang berlaku di Australia termasuk isu kesatuan, undang-undang buruh, anak muda, SA dan sebagainya.

Mesyuarat NC diakhiri dengan semua komrad menuju ke bar berhampiran untuk melepaskan lelah dan ketegangan mereka. Saya dihidangkan dengan jus oren.

Maklumat tambahan yang lebih komprehensif mengenai NC dan temubual akan saya bentangkan dalam kertas kerja saya nanti.

Apa yang menarik dalam NC mereka ialah satu usaha untuk menjana dana parti telah dilancarkan dengan nama 2009 Green Left Weekly Fighting Fund dengan target kutip untuk perbelanjaan sepanjang tahun ini ialah AU 250,000. Satu majlis makan malam di adakan di luar perkarangan rumah media mereka pada hari pertama NC dan acara dihiasi dengan tayangan LCD tentang protes terhadap isu Gaza, isu Orang Asal (Aboriginal) dan diikuti dengan beberap ucapan termasuk ucapan daripada saya dan seorang komrad baru yang berasal dari Isreal. Nyanyian lagu progressif juga dipersembahkan. Kutipan pada hari tersebut sahaja telah mencecah lebih kurang AU83,000, sesuatu yang menakjubkan. Menurut Komrad Peter, perbelanjaan tahunan selalunya mencecah AU 600,000.

Komrad dari DSP sangat teruja apabila saya menerangkan tentang masalah yang wujud selepas kemenangan kita di Parlimen Bosjuasi serta kerja-kerja kita di Malaysia termasuk di Sg Siput serta program parti dalam menghadapi krisis ekonomi. Ini kerana kerja mereka tidak banyak tertumpu dalam usaha menangkis serangan ekonomi yang masih belum dirasai di negara ini tetapi lebih kepada usaha mobilisasi massa dan kerja keseluruhan. Kita mendapat tepukan gemuruh apabila gambar slide saya mengenai Kempen Basikal kita dipaparkan serta apabila saya memberitahu mengenai pengalaman yang diterima daripada pihak polis termasuk usaha mereka untuk 'menyelamatkan' anak muda kita.

Kini saya lebih memberi tumpuan kepada kelas ideology yang akan diadakan mulai hari Selasa ini dan saya telah diberi dua buah buku; The State and Revolution oleh Lenin serta Marxist Theory of The State oleh Ernest Mandel yang perlu saya baca dan bentangkan isu penting dalam kelas pertama. Perbincangan akan dilakukan secara komprehensif dengan tunjuk ajar seorang komrad senior untuk setiap hari.

Saya akan update perkembangan di sini lagi kerana saya sudah mendapat port internet saya di pejabat DSP. Jumpa lagi.

Hidup Rakyat , Hidup Perjuangan

Karthi
Pemuda Sosialis