-

-

Wednesday, April 23, 2008

Sg Siput Dilanda Gelombang Tsunami Masalah Rakyat


Pada ketika keputusan pilihanraya di Sg Siput mencatatkan satu kejutan luar biasa menewaskan Samy Vellu, rakyat pula seperti sudah menjangkakan apakah perubahan yang bakal berlaku di bumi Sg Siput. Yang jelas ialah ramai yakin kepada kepimpinan Dr Kumar dan Parti Sosialis Malaysia yang tidak berganjak daripada prinsip dan kerja walaupun sudah kalah dua kali dalam pilihanraya.

Kepimpinan parti telah merangka satu pelan tindakan mewujudkan satu pentadbiran ala sosialis di bumi Sg Siput di mana semua isu rakyat yang dianggap mustahil semasa pimpinan BN harus diselesaikan dan kerja-kerja untuk merialisasikan misi perjuangan ini sudah pun dimulakan sejak pilihanraya tamat.

Seperti biasa pusat servis telah dibuka kembali sejak ditutup semasa pilihanraya dan jumlah kes yang didaftarkan pada hari pertama sahaja sudah mencecah angka 80. Sehingga hari ini, bilangan kes yang dibawa ke bilik gerakan PSM sejak pilihanraya umum sudah hampir mencecah angka 300. Walaupun kebanyakan isu yang dibawa ialah kes-kes persendirian yang melibatkan kebajikan, Socso, IC serta timbul persoalan adakah penyelesaian isu persendirian merupakan kerja kita, kita di parti berpendirian penglibatan dalam penyelesaian isu-isu rakyat walaupun sekecil mana pun mampu membongkarkan struktur masyarakat di dalam sistem kapitalisma dan memberi satu pengajaran pratikal yang sedar kepada masyarakat akan kepincangan sistem itu sendiri.

Selain itu, satu rutin yang melibatkan MP kita ialah siri lawatan ke semua kawasan rakyat. Sehingga hari ini , sudah lebih 20 area dilawati. Selain mengucapkan terima kasih dan memberi nombor telefon Dr.Kumar dan ahli parti, kita juga mengambil kesempatan untuk melihat isu umum di sesuatu kawasan kecil seperti kampung dan peniaga pasar. Melalui siri lawatan inilah kita telah menubuhkan dua jawatankuasa pasar-pasar di Sg Siput dan mendapat rakan-rakan dari kaum Melayu dan Cina khususnya yang bersedia mewujudkan rangkaian masyarakat di kampung dan New Village. Rancangan yang ditekankan ialah semua kawasan di Sg Siput harus mempunyai wakil dari bilik gerakan PSM termasuk di semua kampung Melayu, Kampung Baru Cina dan taman perumahan.

Untuk merialisasikan rancangan besar ini, Majlis Perunding Rakyat (MPR) sedang diusahakan dan mesyuarat pertama MPR telah pun diadakan dengan kehadiran lebih kurang 15 kawasan baru dan lama. Banyak isu telah dikongsi bersama oleh penduduk berlainan kawasan dan masalah.

Empat projek rakyat utama Parti Sosialis Malaysia Sg Siput pada masa kini ialah :

  1. Skim Perumahan dan Projek Ekonomi untuk lapisan miskin di desa.
    1. Kerajaan BN telah memulakan 5 skim di kawasan pedalaman Sg Siput untuk menempatkan petani tang tiada tanah sendiri dan dijanjikan rumah PPRT (Projek Perumahan Rumah Termiskin) serta beberapa ekar tanah perladangan untuk setiap keluarga.
    2. Di semua skim ini, janji memberi tanah untuk ekonomi tidak ditunaikan.
    3. Rumah yang baru diberikan setahun yang lalu pun sudah mula meretak dan bocor
    4. Masih ada kampung yang tiada bekalan elektrik sehingga sekarang.

Aksi - PSM sudah mula mewujudkan jawatankuasa penduduk di kawasan

kampung ini

- Mendapatkan tanah untuk projek ekonomi untuk semua skim yang terlibat

- Mendapatkan rumah PPRT untuk keluarga miskin melalui kerjasama dengan Penghulu dan Pejabat Tanah ( banyak permohonan sudah pun dibuat dengan bantuan rakan-rakan dari majlis perunding )

  1. Menyelesaikan isu Peneroka Bandar di kawasan Sg Siput
    1. Empat kawasan (sejauh yang diketahui) telah diduduki oleh peneroka bandar yang merupakan tanah kerajaan iaitu Simpang Tiga, Belakang Shin Chung, Kg Veerasamy dan KTM,Sg Buloh.
    2. Pegawai Daerah Sg Siput telah pun mencadangkan tanah alternatif untuk penempatan semula kawasan-kawasan ini

Aksi - Dua kawasan sudah pun diwujudkan jawatankuasa penduduk

- Perbincangan dua hala dengan ADO Sg Siput sudah dibuat dan

diperpanjangkan kepada Menteri Besar

- Banci penduduk telah dibuat untuk dua kawasan

  1. Membantu Merampas kembali semua Hak untuk Orang Asli Sg Siput
    1. Masyarakat orang asli merupakan komuniti paling terpinggir dan tertindas di bumi Malaysia. Terdapat lebih kurang 50 penempatan orang asli di Sg Siput.
    2. Satu siri lawatan telah dirancang dengan dua lawatan telah pun dibuat di dua penjuru berlainan kawasan orang Asli.
    3. Lawatan pertama ialah ke Kg Yom dengan rombongan lebih 15 orang termasuk Tijah dan rakan-rakan yang memperjuangkan isu kaum asli. Turut serta untuk berkongsi pendapat ialah Saudara dari sebuah pertubuhan NGO yang juga melibatkan kaum orang asli. Input daripada mereka jelas menunjukkan kemarahan terhadap opresi kerajaan yang menjadi boneka kaum kapitalis yang merampas tanah dan hak kaum asli. Tijah dan rakan-rakan telah berjanji melibatkan diri dengan PSM dalam program bersama orang asli dalam menyedarkan hak asasi mereka serta cara bersatu berjuang untuk tanah dan masa depan generasi.

Aksi - Sudah berjumpa dengan pegawai Jabatan Orang Asli (JOA) untuk

melihat apakah peranan mereka kepada situasi orang asli di sini.

- Ada mengenalpasti pengagihan projek pertanian kepada kroni dan sebagainya

  1. Penyelesian isu dengan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar
    1. Isu banjir telah menjadi hangat di Sg Siput kerana berlaku di banyak kawasan. Ini ditambah pula dengan musim hujan pada waktu ini.
    2. Dr Kumar dan ahli PSM telah melawat semua kawasan banjir dan didapati masalah perparitan dan sistem pembangunan tidak tersusun ialah punca utama.
    3. Kerja-kerja pembersihan longkang dan sebagainya telah dikontrakkan oleh MPKK kepada pihak swasta dan kebanyakan kerja masih tertangguk.
    4. Hampir semua tuntutan penjaja-penjaja pasar termasuk mengurangkan bayaran lesen serta menghapuskan sewa ialah melibatkan MPKK

Aksi - Aduan bertulis dan lisan telah ditujukan kepada pegawai berkaitan

dan telah membawa YDP MPKK, Dato Syafie untuk turun melawat

kawasan banjir dan pihak mereka berjanji akan menyelesaikan isu ini

secepat yang mungkin.

- Jawatankuasa penjaja-penjaja pasar telah digubal dan perjumpaan

antara AJK dengan pegawai MPKK Sg Siput telah pun diadakan.

- Perjumpaan dengan semua pegawai yang terlibat sedang diusahakan

termasuk pegawai Jurutera Daerah, JKR, MPKK, JPS (Jabatan

Perparitan dan Saliran) dan NGO untuk melihat struktur keseluruhan

masalah perparitan dan banjir di Sg Siput serta mencari satu jalan

penyelesaian untuk mengelakkan isu ini pada masa hadapan.

- Telah menubuhkan kumpulan aksi bencana yang berurusan dengan

isu bencana seperti banjir, ribut dan matapelaka lain.

- Satu dana akan diwujudkan untuk menghulurkan bantuan kepada

mangsa bencana dan akan dikutip daripada masyarakat tempatan

dengan ‘daripada rakyat kepada rakyat’

Selain ini, isu petani di kawasan Sg Siput, Khantan dan Tanah Hitam juga diperjuangkan di mana seperti biasa pemaju (baca=kaum kapitalis) cuba mengusir keluar petani-petani di sini dan tindakan susulan telah dibuat termasuk penahanan pencerobohan dan laporan polis.

Sesuatu yang perlu ditekankan di sini ialah semua pelan tindakan ini telah dimulakan oleh PSM sejak dulu lagi namun tiada kerjasama dan interaksi dua hala yang baik daripada pihak berkuasa dan situasi kini memang terbalik dan ini dibantu pula dengan kemenangan pakatan rakyat di Perak memandangkan hampir semua isu dalam projek rakyat tersebut melibatkan kuasa kerajaan negeri.

Kerja-kerja mendaftar ahli baru juga giat dijalankan dengan ramai penduduk mula menunjukkan minat menjadi ahli PSM. Saudara Sugu yang mengkordinasi kerja ini dan mesyuarat pertama dengan ahli baru sudah pun diadakan dan program kepada mereka telah digubal secara minima termasuk penglibatan dalam sambutan Hari Pekerja dan Pertunjukan Titisan Peluh.

Secara keseluruhannya, kerja-kerja perlaksanaan satu pentadbiran ala sosialis di bumi Sg Siput telah dimulakan dengan begitu hebat . Dengan situasi politik yang juga nampaknya seperti berpihak kepada kita, tidak mustahil untuk PSM mewujudkan satu perubahan yang nyata di Sg Siput . Kita di Sg Siput bersama-sama DUN Kota Damansara mampu memberi satu pentadbiran contoh kepada kawasan lain. Pada ketika kita cuba menyelesaikan kepincangan struktur sosial dan ekonomi masyarakat tempatan, kita juga sedar akan tugas kita untuk memberikan analisa politik yang sedar kepada rakyat serta menyediakan saluran untuk mobilisasi rakyat semua kaum menentang sistem yang menindas mereka.

Disediakan oleh:

Karthiges

Pemuda Sosialis