-

-

Sunday, April 27, 2014

Pemuda Sosialis sent you an invitation

 
Top corners image
     
 
   
 
 
 

Pemuda Sosialis has invited you to join Twitter!

 
 
Accept invitation
 
     

Wednesday, January 22, 2014

“And then many things became very clear... we learned perfectly that the life of a single human being is worth millions of times more than all the property of the richest man on earth.” ― Ernesto Guevara

KENYATAAN MEDIA PEMUDA SOSIALIS 22 JANUARI 2014

KENYATAAN MEDIA: 22 JANUARI 2014

 

ISU TAMBANG BAS SEKOLAH: HENTI SALAHKAN IBU BAPA!

 

Kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam (SPAD) Tan Sri Dato' Seri Syed Hamid bin Syed Jaafar Albar yang menyalahkan sikap ibu bapa akibat kenaikan tambang bas sekolah dan pihaknya tidak boleh mengambil sebarang tindakan merupakan satu kenyataan yang mengkhianati kepercayaan rakyat terhadap SPAD dan Kerajaan Barisan Nasional.

 

Kenyataan Pengerusi SPAD ini nyata bercanggah dengan kenyataan Pengerusi Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPPBSM) pada 25/11/2013 bahawa GPPBSM tidak mampu untuk mengawal ahlinya daripada menaikkan kadar tambang jika kerajaan tidak memberikan kata putus sehingga akhir tahun 2013.

 

Sudah jelas lagi terang bahawa kenaikan kadar tambang bas sekolah ini turut mendapat restu kerajaan dan SPAD tetapi demi melepaskan diri daripada kemarahan ibu bapa, Pengerusi SPAD meletakkan beban kesalahan dibahu ibu bapa. 

 

Pemuda Sosialis menuntut SPAD untuk menjelaskan kepada rakyat marhaen mengapa SPAD menjadikan ibu bapa sebagai mangsa keadaan sedangkan bidang kuasa sepenuhnya terletak pada SPAD dan kerajaan pusat? SPAD juga seharusnya bersikap telus dalam isu ini dan mendedahkan apa butiran perbincangan antara SPAD dan pihak yang berkenaan berhubung isu ini dan bukannya menyalahkan pihak ibu bapa semata.

 

Pemuda Sosialis memandang serius isu ini kerana kenaikan yuran sekolah yang tidak terkawal dan kini kenaikan tambang bas sekolah mungkin akan mendorong ibu bapa yang miskin atau tidak berkemampuan untuk menghentikan pelajaran anak-anak mereka. Sudahlah kerajaan gagal menyediakan pendidikan percuma kepada rakyatnya dan kini kerajaan berdiam diri membabitkan isu ini.

 

SPAD bukan sahaja kelihatan lemah dalam isu tambang bas sekolah ini malah sebelum ini, Badan Bertindak Pemandu-pemandu Teksi Bermeter (BBPTB) pernah mendesak Pengerusi SPAD untuk meletakkan jawatan kerana gagal berfungsi menjalankan tanggungjawab meningkatkan mutu perkhidmatan teksi serta gagal menangani kemelut perkhidmatan teksi yang berlarutan sejak berpuluh tahun.

 

Sehubungan dengan itu, Pemuda Sosialis menuntut kerajaan untuk merombak semula SPAD dalam usaha untuk menerajui transformasi pengangkutan awam darat menjadi mod pilihan rakyat dan bukannya hanya menaikkan kadar tambang pengangkutan sesuka hati tanpa didasari apa-apa mekanisma dalam membantu meringankan beban rakyat.

 

Menyalahkan ibu bapa adalah perbuatan yang tidak berprofesionalisme dan hanya menunjukkan keangkuhan mereka yang berkuasa.

 

Disediakan oleh:

Edwin Michael

Setiausaha Agung Pemuda Sosialis

Parti Sosialis Malaysia

0124006470

 

KENYATAAN MEDIA PEMUDA SOSIALIS 17 JANUARI 2014

KENYATAAN MEDIA : 17 JANUARI 2014


KEHILANGAN NYAWA 4 PEKERJA NEPAL DI POKOK SENA, KEDAH - SATU MALAPETAKA SERIUS!

 

Insiden protes lebih 200 pekerja asing dari Nepal di sebuah kilang papan di Kedah tidak seharusnya dianggap sebagai isu yang remeh. Pihak media dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) cuba klasifikasikan isu ini sebagai isu rusuhan, padahal ia hanyalah satu protes yang cukup rasional membantah sikap majikan yang enggan mengambil berat akan kebajikan pekerja.


Kumpulan pekerja terbabit bertindak demikian kerana dilaporkan sekurang-kurangnya tiga kematian mengejut membabitkan pekerja berlaku di asrama berkenaan dalam tempoh sebulan. Protes berkenaan dikatakan untuk meminta majikan mereka mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan rakan mereka yang dikatakan ketika itu mengalami sesak nafas. Ketegangan berlaku apabila pihak majikan tidak mengendahkan permintaan itu, malah pihak majikan juga dikatakan bimbang untuk mengadakan pertemuan berikutan kehadiran pekerja warga asing yang terlalu ramai.


Di Malaysia terdapat lebih kurang 3.5 juta pekerja imigran, dan mereka meliputi 30% daripada tenaga buruh di Malaysia yang menyumbang kepada ekonomi Malaysia. Pada akhirnya, apakah layanan yang majikan berikan kepada pekerja-pekerja imigran ini? Menindas dengan polisi gaji murah, kerja keras, tidak memberi tempat tinggal yang selesa dan tidak menghormati hak dan kebajikan mereka secara keseluruhan. Malah ada majikan yang memberikan layanan seperti binatang terhadap pekerja imigran di Malaysia.


Hakikatnya hak asasi dan kebajikan buruh imigran di negara masih terabai dan berada pada tahap yang amat menyedihkan.Sementara laporan Amnesty Internasional pada 21 November 2013 menyebutkan, ribuan buruh imigran Indonesia dieksploitasi di Hongkong dan dijadikan sebagai hamba moden maka apa jaminan perkara itu tidak akan terjadi di negara ini memandangkan kerajaan kita hanya mengambil langkah-langkah minimum dalam menjaga kebajikan buruh-buruh imigran ini.


Pemuda Sosialis Malaysia memandang serius tingkahlaku majikan yang tidak bertanggungjawab dalam insiden kematian pekerja-pekerja Nepal ini dan juga penyalahgunaan kuasa oleh Pihak PDRM terhadap pekerja-pekerja Nepal ini. Penahanan tiga pemimpin pekerja Nepal ini tidak masuk akal. Sepatutnya majikan kilang ini yang patut ditahan dan disiasat.


Maka dalam konteks ini, Pemuda Sosialis Malaysia menggesa pihak yang berkenaan untuk melancarkan satu siasatan terhadap pihak majikan kilang berkenaan demi memastikan kematian empat buruh imigran ini bebas daripada unsur-unsur eksploitasi dan perhambaan moden serta pada masa yang sama menggugurkan dakwaan jika ada terhadap tiga pemimpin pekerja yang ditahan oleh pihak PDRM.


Edwin Michael

Setiausaha Agung Pemuda Sosialis

Parti Sosialis Malaysia

KENYATAAN MEDIA PEMUDA SOSIALIS 16 JANUARI 2014

KENYATAAN MEDIA : 16 JANUARI 2014


APA MOTIF MB TERENGGANU KETUAI LAWATAN KE ANTARTIKA?


Pemuda Sosialis, Parti Sosialis Malaysia memandang serius isu melibatkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang akan mengetuai delegasi Malaysia dalam lawatan kerja ke Antartika bermula 18 Januari ini hingga 2 Februari depan.


Hakikat mengetahui bahawa program yang dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar itu bertujuan membuka laluan bagi kerajaan menubuhkan sebuah stesen penyelidikan kendalian bersama dengan Instituto Antartico Chileno (INACH), Chile.


Negara sudah berada dalam persimpangan dilema apabila kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang gagal ditangani oleh kerajaan Barisan Nasional dan keadaan ekonomi bertambah teruk dengan hutang negara kini berada dalam paras 57.3% daripada KDNK negara iaitu berjumlah RM545.60bilion.


Projek angkawasan 'Penumpang' yang pertama menelan kos RM95 juta dan kos sebanyak ini ditanggung oleh rakyat Malaysia. Hingga ke hari ini, kita masih tidak tahu dengan jelas objektif sebenarnya projek ini dan manfaat kepada rakyat Malaysia. Kini, sekali lagi projek yang diketuai oleh Menteri Besar Terengganu ini juga kelihatan samar. Kenapa seorang Menteri Besar yang ketuai projek ini dan bukannya Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar?


Isu alam sekitar tempatan pun kerajaan negeri Terengganu gagal tangani inikan pula mahu ketuai misi penyelidikan berkaitan perubahan cuaca dunia. Isu hakisan pantai yang berlaku dari Besut hingga ke Kemaman serta di Pantai Tok Jembal, isu Hutan Gelam Air yang terancam akibat aktiviti pembersihan hutan paya gelam serta pembinaan prasarana Ladang Akuakultur Ternakan Udang Bersepadu yang bernilai RM290 juta, isu pembalakan haram di Hutan Simpan Kekal Gunung Tebu, Hutan Simpan Bukit Bauk, Hutan Simpan Tembat dan Hutan Simpan Petuang. Jenayah alam sekitar yang dihalalkan oleh kerajaan negeri Terengganu ini sama ada secara langsung atau tidak langsung turut menjadi penyumbang kepada perubahan iklim serantau.


Pemuda Sosialis tidak menentang misi penyelidikan ini namun misi ini haruslah mempunyai kewajaran yang jelas dan bukannya dijadikan sebagai platform oleh golongan politikus ini untuk pergi bercuti  menggunakan duit rakyat.


Disediakan oleh:

Edwin Michael

Setiausaha Agung Pemuda Sosialis

Parti Sosialis Malaysia

 

 

KENYATAAN MEDIA PEMUDA SOSIALIS 3 JANUARI 2014

                                                KENYATAAN MEDIA 3 JANUARI 2014

                 PEMUDA SOSIALIS MEMBANTAH PENAHAHAN 2 AKTIVIS KAMPUNG HAKKA 


Pemuda Sosialis, Parti Sosialis Malaysia (PSM) bersama Jawatankuasa Penduduk Kg. Hakka Mantin mengecam penangkapan dan penahanan Sdr. Chong Tze Yaw (Ketua Kampung Hakka) dan Sdr. Vijayagandi (aktivis PSM) di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan hari ini.

Pemuda Sosialis membantah sekeras-kerasnya tindakan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertindak tidak adil dalam isu melibatkan Kampung Hakka ini serta nyata penangkapan ini juga membuktikan PDRM telah melanggar prinsip asas hak asasi manusia serta mencabuli piawaian antarabangsa berhubung hak asasi.

Dari awal lagi pihak pemaju iaitu Mega 9 Housing Sdn Bhd telah mencuba pelbagai taktik untuk memaksa penduduk-penduduk Kampung Hakka ini keluar termasuk menggunakan kekerasan yang didasari oleh pihak polis. Pemaju juga bertindak semakin agresif namun tiada apa-apa tindakan diambil oleh pihak polis untuk menjaga keselamatan penduduk Kampung Hakka ini.

Sikap berdiam diri kerajaan Negeri Sembilan termasuk Menteri Besarnya yang enggan mendengar rintihan penduduk-penduduk ini juga mendedahkan wajah sebenar kerajaan Barisan Nasional yang sanggup membuang rakyat demi menjaga kepentingan kapitalis iaitu Mega 9 Housing Sdn Bhd.

Tindakan penahanan dua aktivis ini adalah petunjuk penting betapa pihak polis sanggup diperkudakan oleh pihak pemaju semata-mata untuk halalkan tindakan mereka dan menakut-nakutkan para penduduk Kampung Hakka. Penduduk kampung Hakka hilang kepercayaan terhadap pegawai-pegawai siasatan Balai Polis Mantin serta IPD Nilai.

Maka, Pemuda Sosialis menggesa Ketua Polis Negara untuk campur tangan dalam hal ini bagi memastikan tiada sesiapapun dijadikan mangsa kerakusan pemaju serta memastikan PDRM bebas daripada digunakan oleh mereka yang memiliki pengaruh dan mahu menjahanamkan penduduk Kampung Hakka ini.

Pemuda Sosialis turut menggesa rakyat untuk terus memberikan tekanan kepada IO Inspektor Tarmizi dengan hubungi beliau di talian 0179000146 untuk membebaskan dua aktivis ini dengan segera.

Hidup rakyat!

Disediakan oleh,
Edwin Michael
Setiausaha Agung Pemuda Sosialis

Parti Sosialis Malaysia

KENYATAAN MEDIA PEMUDA SOSIAL 23 DISEMBER 2013

KENYATAAN MEDIA 23 DISEMBER 2013


BUKAN TAN SRI HASMY AGAM TETAPI PERDANA MENTERI YANG PERLU MELETAKKAN JAWATAN!


Pemuda Sosialis, Parti Sosialis Malaysia memandang serius kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Presiden Gabungan Bela Hak Insan Pulau Pinang (Gabungan), Mohamed Hafiz Mohamed Nordin yang meminta kerajaan untuk mengkaji semula kedudukan Tan Sri Hasmy Agam sebagai Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).


Laporan terkini dari Bank Dunia bertajuk "Malaysia Economic Monitor: December 2013" mendedahkan jumlah pendapatan kerajaan Malaysia sebanyak RM1.4 bilion adalah hasil penjualan aset, manakala RM4.2 bilion pula berupa sekuriti hutang daripada aset-aset negara. Penjualan aset negara ini adalah sesuatu yang amat serius. Ini belum lagi mengambil kira ketirisan pengurusan wang rakyat melibatkan agensi kerajaan seperti yang didedahkan dalam Laporan Audit Negara baru-baru ini apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengalami kerugian bernilai RM33 juta akibat kehilangan aset PDRM, sementara Jabatan Kastam pula melupuskan 7,659 pasang kasut kerana tidak mengikut spesifikasi di mana kerugian dianggarkan RM 602, 089. Paling hebat apabila Kementerian Belia dan Sukan membelanjakan RM1.6 juta untuk membawa masuk kumpulan K-pop ke negara ini.


Kebebasan media di negara ini pula dicabul apabila The Heat digantung. Walaupun Kementerian Dalam Negeri menafikan sekeras-kerasnya bahawa penggantungan The Heat tiada kaitan dengan laporan mengenai perbelanjaan boros Perdana Menteri dan isteri Perdana Menteri namun soal utamanya ialah mengapa media dinegara ini masih dibelenggu dengan kebebasan yang berantai ini dan dihukum sekiranya tidak mengikut rentak permainan politik kerajaan Barisan Nasional?


NGO Gabungan juga seharusnya mengutuk Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA – Trans-Pacific Partnership Agreement). Sekiranya Malaysia menandatangani perjanjian itu, kesan buruk mutlak adalah kehidupan rakyat marhaen akan terjejas memandangkan banyak aktiviti ekonomi melibatkan perniagaan dan perdagangan antarabangsa tidak dapat dikawal sekaligus memberikan impak kepada maruah dan kedaulatan negara. Pemuda Sosialis menggesa kerajaan untuk mendedahkan teks perjanjian yang sedang dirundingkan dengan kuasa besar ekonomi dunia, Amerika Syarikat untuk pengetahuan umum?


Kenaikan kos sara hidup terutamanya cukai GST yang akan diimplementasikan pada tahun 2015, kenaikan harga barangan yang sudah tidak dapat dikawal lagi oleh kerajaan, kenaikan tarif elektrik, kenaikan kos perkhidmatan dan pelbagai lagi kenaikan yang bakal mewarnai ekonomi negara 2014 juga seharusnya diberikan perhatian. Malah, penganalisis ekonomi negara pula meramalkan bahawa ekonomi Malaysia akan bertambah teruk dengan tindakan kerajaan melalui Pelan Rasionalisasi Subsidi serta cukai perkhidmatan dan barangan (GST) yang hanya akan membawa kepada kemelesetan ekonomi dalam tempoh tidak sampai tiga tahun akan datang. Ini umpama menjerut rakyat marhaen hidup-hidup sementara kerajaan terus berboros dan biarkan ketirisan berlaku.


Justeru, Pemuda Sosialis menyeru NGO Gabungan ini untuk membuka minda melihat kepada realiti isu-isu yang membelenggu rakyat ini serta berhenti daripada membuat cubaan untuk mengalih fokus rakyat daripada isu yang sebenar.


Pemuda Sosialis menuntut pembaharuan dalam kerajaan dengan mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatan dalam usaha menyelamatkan negara daripada krisis ekonomi.

 

KS BAWANI

Ketua Pemuda Sosialis

Parti Sosialis Malaysia

KENYATAAN MEDIA PEMUDA SOSIALIS 23 DISEMBER 2013

KENYATAAN AKHBAR

PEMUDA SOSIALIS: 23/12/2013

 

 

PEMUDA SOSIALIS MALAYSIA: TURUN Berjuang Bersama Rakyat!


Pemuda Parti Sosialis Malaysia menyatakan sokongan penuh kepada Perhimpunan Membantah Kenaikan Harga Barangan pada malam 31 Disember ini.

Kenaikan harga barangan membuatkan ekonomi rakyat menjadi tenat sementara kerajaan pula nyata gagal dalam menyediakan satu mekanisma penyelesaian kepada kemelut kenaikan harga barangan dan kos sara hidup rakyat ini.


Malah kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi & Kepenggunaan yang menyatakan bahawa rakyat Malaysia telah bersetuju dengan kenaikan harga barangan memandangkan tidak ada rungutan mengenainya adalah umpama menabur garam pada luka rakyat.

Perhimpunan ini tidak sama sekali perlu ditafsirkan satu perhimpunan yang bersifat mahu gulingkan kerajaan sebaliknya perhimpunan ini adalah medan buat rakyat marhaen untuk berhimpun secara demokrasi dan memberikan isyarat jelas kepada kerajaan bahawa rakyat sudah tidak boleh bersabar lagi dengan penindasan demi penindasan yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional ini.


Medan perhimpunan ini juga merupakan platform buat seluruh rakyat Malaysia untuk berhimpun dan menyuarakan bantahan terhadap pelaksaan cukai barangan dan perkhidmatan pada tahun 2015 nanti. Kenaikan kos sara hidup terutamanya cukai GST ini, kenaikan harga barangan yang sudah tidak dapat dikawal lagi oleh kerajaan, kenaikan tarif elektrik, kenaikan kos perkhidmatan dan pelbagai lagi kenaikan yang bakal mewarnai ekonomi negara 2014 merupakan sebab mengapa rakyat Malaysia memilih untuk berhimpun pada 31 Disember ini.


Tindakan kerajaan melalui Pelan Rasionalisasi Subsidi serta cukai perkhidmatan dan barangan (GST) sedikitpun tidak memberikan apa-apa faedah kepada rakyat marhaen selain menjadikan mereka lebih miskin dan melarat. Tindakan ini umpama menjerut rakyat marhaen hidup-hidup sementara kerajaan terus berboros, biarkan ketirisan berlaku serta mengkayakan kroni mereka sahaja.


Perhimpunan ini juga perlu dilihat sebagai kebangkitan anak-anak muda yang tampak bersedia untuk menolak Pemuda Barisan Nasional yang pesimis dan gagal menyakinkan anak-anak muda bahawa kononnya dasar-dasar kerajaan akan membawakan faedah jangka panjang buat rakyat marhaen. Malah, hingga kini Pemuda Barisan Nasional kelihatan lesu dan tidak berani untuk berdebat dengan rakyat mempertahankan segala dasar dan polisi kerajaan yang sedikitpun tidak menguntungkan rakyat.


Pemuda Sosialis PSM bersama-sama rakyat marhaen akan TURUN berhimpun secara aman dan secara demokrasi seperti apa yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan negara dan perhimpunan ini adalah perhimpunan kebangkitan rakyat marhaen dalam melawan penindasan regim Barisan Nasional.


Hidup rakyat!


Disediakan oleh

KS Bawani

Ketua Pemuda Sosialis

Parti Sosialis Malaysia