-

-

Wednesday, January 22, 2014

KENYATAAN MEDIA PEMUDA SOSIALIS 22 JANUARI 2014

KENYATAAN MEDIA: 22 JANUARI 2014

 

ISU TAMBANG BAS SEKOLAH: HENTI SALAHKAN IBU BAPA!

 

Kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam (SPAD) Tan Sri Dato' Seri Syed Hamid bin Syed Jaafar Albar yang menyalahkan sikap ibu bapa akibat kenaikan tambang bas sekolah dan pihaknya tidak boleh mengambil sebarang tindakan merupakan satu kenyataan yang mengkhianati kepercayaan rakyat terhadap SPAD dan Kerajaan Barisan Nasional.

 

Kenyataan Pengerusi SPAD ini nyata bercanggah dengan kenyataan Pengerusi Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPPBSM) pada 25/11/2013 bahawa GPPBSM tidak mampu untuk mengawal ahlinya daripada menaikkan kadar tambang jika kerajaan tidak memberikan kata putus sehingga akhir tahun 2013.

 

Sudah jelas lagi terang bahawa kenaikan kadar tambang bas sekolah ini turut mendapat restu kerajaan dan SPAD tetapi demi melepaskan diri daripada kemarahan ibu bapa, Pengerusi SPAD meletakkan beban kesalahan dibahu ibu bapa. 

 

Pemuda Sosialis menuntut SPAD untuk menjelaskan kepada rakyat marhaen mengapa SPAD menjadikan ibu bapa sebagai mangsa keadaan sedangkan bidang kuasa sepenuhnya terletak pada SPAD dan kerajaan pusat? SPAD juga seharusnya bersikap telus dalam isu ini dan mendedahkan apa butiran perbincangan antara SPAD dan pihak yang berkenaan berhubung isu ini dan bukannya menyalahkan pihak ibu bapa semata.

 

Pemuda Sosialis memandang serius isu ini kerana kenaikan yuran sekolah yang tidak terkawal dan kini kenaikan tambang bas sekolah mungkin akan mendorong ibu bapa yang miskin atau tidak berkemampuan untuk menghentikan pelajaran anak-anak mereka. Sudahlah kerajaan gagal menyediakan pendidikan percuma kepada rakyatnya dan kini kerajaan berdiam diri membabitkan isu ini.

 

SPAD bukan sahaja kelihatan lemah dalam isu tambang bas sekolah ini malah sebelum ini, Badan Bertindak Pemandu-pemandu Teksi Bermeter (BBPTB) pernah mendesak Pengerusi SPAD untuk meletakkan jawatan kerana gagal berfungsi menjalankan tanggungjawab meningkatkan mutu perkhidmatan teksi serta gagal menangani kemelut perkhidmatan teksi yang berlarutan sejak berpuluh tahun.

 

Sehubungan dengan itu, Pemuda Sosialis menuntut kerajaan untuk merombak semula SPAD dalam usaha untuk menerajui transformasi pengangkutan awam darat menjadi mod pilihan rakyat dan bukannya hanya menaikkan kadar tambang pengangkutan sesuka hati tanpa didasari apa-apa mekanisma dalam membantu meringankan beban rakyat.

 

Menyalahkan ibu bapa adalah perbuatan yang tidak berprofesionalisme dan hanya menunjukkan keangkuhan mereka yang berkuasa.

 

Disediakan oleh:

Edwin Michael

Setiausaha Agung Pemuda Sosialis

Parti Sosialis Malaysia

0124006470

 

No comments:

Post a Comment