SUARA PEMUDA SOSIALIS: 13/9/2014
ADAKAH PM NAJIB BERANI UNTUK MEMANSUHKAN AKTA HASUTAN?
Pemuda Sosialis mengecam Kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah menipu rakyat Malaysia. Perdana Menteri Najib telah berjanji dua kali pada tahun 2012 dan 2013 untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948. Tapi hari ini, beliau membuat kenyataan U-turn bahawa kerajaan tidak akan tergesa-gesa untuk memansuhkan Akta Hasutan. Dimanakah janji dan laungan transformasi beliau selama ini?
Sejak 19 Ogos 2014 hingga hari ini, PM Najib sedang mencatat rekod "Raja Hasutan" kerana telah membuat 10 tangkapan di bawah Akta Hasutan 1948 dalam tempoh 26 hari sahaja. Diantara mereka yang ditahan adalah aktivis mahasiswa, ahli akademik, peguam, ahli agamawan dan ahli-ahli politik. Apakah motif sebenar kerajaan? Walaupun dalam bulan kemerdekaan dan beberapa hari lagi untuk Hari Malaysia, siri penahanan yang berlanjutan di bawah Akta Hasutan menunjukkan negara Malaysia masih dijajah. Apakah makna kemerdekaan jika kerajaan BN menyambung legasi penindasan penjajah British?
Pemuda sosialis membantah sekerasnya tindakan kerajaan yang mencabuli hak asasi manusia dengan penahan, pendakwaan dan penghukuman yang tidak berwaras menggunakan Akta zalim ini. Ini adalah satu agenda politik kerajaan untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia dengan menyekat kebebasan bersuara. Jelas regim BN di bawah pimpinan Najib Razak telah gentar dengan kritikan dan suara rakyat terutama golongan muda.
Perkara 10 perlembagaan Malaysia secara jelas menyatakan setiap rakyat mempunyai hak untuk bersuara. Penahanan Prof Azmi Sharom, pensyarah undang-undang UM adalah satu pencabulan kebebasan akademik. Adakah Negara kita dalam zaman penjajahan, sehingga ahli akademik tidak boleh memberi pandangan mereka tentang isu semasa dan negara? Dimankah langkah transformasi yang diwar-warkan oleh PM Najib Razak selama ini.
Kekejaman pemerintah bertambah teruk dengan penahanan dan penghukuman aktivis muda seperti Safwan Anang, Ali Abdul Jalil dan sebelum ini Adam Adli. Ini adalah satu taktik kerajaan untuk melemahkan kebangkitan dan suara anak muda yang berani bersuara, melawan dan mengkritik ketidakadilan regim pemerintah. Mereka bukan mencuri, merompak atau membunuh, malah hanya bersuara!
Kerajaan sudah lupa ini adalah taktik lama untuk menakutkan rakyat terutama anak muda dan mahasiswa, semakin menekan semakin ramai yang akan tampil bersuara. Gerakan Anak Muda Hapuskan Akta Hasutan (HASUT) adalah satu gelombang anak muda yang bangkit untuk menghapuskan Akta zalim ini dan Pemuda Sosialis menyokong penuh gelombang HASUT!
Pemuda Sosialis sekali lagi mengecam dan memberi amaran kepada PM Najib, hentikan segera segala penahanan dan mansuhkan sekarang Akta Hasutan 1948 seperti yang telah dijanjikan. Jangan anggap rakyat akan terus berdiam memerhatikan penindasan ini. Kebangkitan rakyat mampu menjatuhkan regim pemerintah seperti yang sedang berlaku di negara-negara luar.
Bangkit anak muda & seluruh rakyat Malaysia, tuntut kerajaan tunaikan janji. Bantah Akta Hasutan hari ini sebelum anda jadi mangsa esok!
Oleh,
Ketua Pemuda Sosialis
Bawani ks
0169008202
No comments:
Post a Comment