KENYATAAN AKHBAR: 21/2/2014
GMPP) BANTAH, TPPA MENJEJASKAN KEBEBASAN MAKLUMAT & MENGETATKAN HAKCIPTA!
Kami para anak muda, mahasiswa/i dan para pelajar dari Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP) amat kecewa dengan kerajaan yang masih giat berunding dalam Trans Pacific Partnership Agreement(TPPA) walaupun dibantah oleh pelbagai sektor rakyat Malaysia. Rundingan ini yang dianggotai oleh 12 buah negara sebenarnya merupakan platform untuk menjaga kepentingan pihak korporat Amerika di rantau Asia Pasifik semata-mata.
TPPA, kami difahamkan menuntut terma-terma hakcipta intelek bagi penulisan buku cetak dan internet diperketatkan selaras dengan perundangan di Amerika Syarikat. Jika perjanjian ini ditandatangani maka tindakan ini akan memaksa kesemua Negara TPP mengetatkan lagi perundangan hakcipta di negara masing-masing.
Jika tempoh hakcipta intelek bagi semua penulisan ilmiah/buku-buku ditambah, maka rakyat di negara-negara TPPA terpaksa menanggung bayaran royalti untuk tempoh yang lebih lama.
Lanjutan tempoh Hakcipta
Pihak Amerika Syarikat mencadangkan bahawa hak intelek seperti penulisan buku dilanjutkan tempoh hak ciptanya daripada 50 tahun ke 140 tahun! Ini bermaksud sesebuah buku yang ditulis oleh penulis asal tidak boleh dicetak semula/difotostat semula tanpa kebenaran pemegang hakcipta asal tersebut dengan membayar royalti untuk karya tersebut .
Jika pemegang hakcipta (penulis) merupakan seorang individu, tempoh hakcipta akan berlangsung untuk tempoh hayatnya tambah 70 tahun selepas kematian individu tersebut. Ini bermaksud hasil tulisan tersebut hanya dapat digunakan oleh pelajar (tanpa apa jua royalti) selepas 140 tahun! (iaitu 70 tahun tempoh hayat seseorang + 70 tahun lanjutan hakcipta).
Kini Perbadanan Harta Intelek Malaysia hanya memperuntukkan 50 tahun tempoh hakcipta sah selepas kematian pengarang /pencipta asal sesebuah karya. Jika TPPA ditandatangani, maka Malaysia juga akan dipaksa untuk mengubah tempoh hakciptanya kepada 70 tahun selepas kematian pengarang . Jika hakcipta dipunyai oleh sesebuah badan swasta (bukan individu) tempoh hakciptanya ialah 95 tahun selepas penerbitan yang pertamanya!
Jika perjanjian TPPA ini ditandatangani oleh Malaysia maka akses maklumat akan terbantut kerana pemerolehan buku-buku teks rujukan pelajar sekolah dan universiti tidak boleh diperolehi daripada sumber ketiga. Ianya akan dihalang daripada dicetak semula atau difotostat dengan kos yang murah.
Para pelajar sekolah dan mahasiswa terpaksa membeli buku sedemikian dengan harga tinggi mencecah beratusan ringgit daripada penerbit asal.
Tuntutan sedemikian oleh TPPA hanya memberikan hak ekslusif kepada pemilik hakcipta untuk mengaut keuntungan daripada karya-karya kreatif. Biasanya hak ini disalahgunakan apabila hak ini secara langsung menyekat penyebaran informasi budaya dan pengetahuan umum yang penting daripada rakyat.
Lanjutan tempoh hakcipta melebihi hayat pencipta karya tidak sebenarnya menjaga kepentingan pencipta tersebut ataupun mengalakan beliau menghasilkan lebih banyak karya. Ia hanya untuk menguntungkan syarikat-syarikat penerbit yang mengeluarkan hasil karya tersebut secara berterusan walaupun penulis tersebut sudah meninggal.
Rujukan Perpustakaan terjejas
Perlanjutan tempoh hakcipta ini juga akan memberi kesan kepada program pendigitalan di perpustakaan, yang boleh menyebabkan banyak hasil kerja yang telah di digitalkan untuk akses orang awam dibuang dari simpanan data, menghadkan penggunaan semula atau penggunaan kerja yang sepatutnya bebas hakcipta
Meningkatkan harga barangan perpustakaan; sekaligus kepada pengurangan pembelian buku-buku oleh perpustakaan. Bukan sahaja perpustakaan yang akan menerima kesannya, malah yang turut terkena implikasinya adalah orang awam serta para pelajar yang mahu membuat salinan fotokopi untuk buku teks.
Pada tahun 2012 , pertubuhan The International Federation of Library Associations and Institutions (IFLA) , sebuah badan antarabangsa yang mewakili kepentingan perpustakaan dan informasi dari seluruh dunia juga membidas perjanjian TPPA ini . IFLA berpendapat bahawa walaupun hak pencipta karya asal harus di jaga tetapi ianya perlu diimbangi oleh kebolehan rakyat jelata untuk mengakses maklumat tersebut tanpa apa jua sekatan.
IFLA amat risau tentang implikasi TPPA keatas hak asasi ini, dengan lanjutan tempoh hakcipta. Dengan jelas, ianya tidak mengimbangi keperluan akses maklumat untuk rakyat jelata.
Perjanjian Rahsia!
Oleh kerana segala dokumen perbincangan rundingan TPPA/FTA ini diantara Malaysia dan Amerika Syarikat diadakan dalam bilik tertutup dan dikawal oleh persefahaman rahsia, maka rakyat Malaysia langsung tidak mengetahui sama ada bab Hak Cipta Intelek ini telah dipersetujui oleh Kerajaan Malaysia dalam perjanjian ini .
Kami hanya menerima makluman melalui beberapa teks yang dibocorkan daripada rundingan ini, dimana ianya jelas menyatakan hasrat Amerika Syarikat menuntut lanjutan tempoh hak cipta.
Dengan menandatangani perjanjian ini, maka syarikat-syarikat penerbit akan diberikan lebih kuasa untuk menyaman sesiapa yang membuat salinan fotokopi, muatnaik dalam internet atau membuat salinan dalam apajua cara sekali pun sesuatu buku atau hasil karya tanpa kebenaran penerbit hak cipta terpelihara tersebut .
Perjanjian ini juga boleh diperluaskan untuk menghalang kemasukkan buku dari negara ketiga. Iaitu suatu buku yang ditulis dan diterbitkan di Amerika tidak juga boleh diimport jika ianya dicetak semula di Vietnam misalnya.
Justeru itu kami para mahasiswa, pelajar dan anak muda membantah apa jua lanjutan tempoh hak cipta intelek sepertimana yang dituntut oleh Amerika Syarikat dalam perjanjian TPPA ini. Kerajaan harus menyatakan dengan telus isi kandungan perbincangan TPPA ini serta memaklumkan kepada rakyat Malaysia mengenai isu –isu yang telah dipersetujuinya sehingga kini.
Kini rundingan TPPA dipercayai pada tahap terakhir dan rundingan seterusnya akan berlangsung di Singapura pada 21hb Februari 2014. TPPA dijangka akan dimeterai apabila Presiden Amerika Barack Obama melawat Asia pada bulan April ini. Kami menuntut semua anak muda dan pelajar untuk bangkit membantah rundingan ini yang pastinya akan menjejaskan masa depan para pelajar di negara ini.
KAMI MENUNTUT KERAJAAN HENTIKAN RUNDINGAN TPPA INI DENGAN SEGERA!
HENTIKAN TPPA! TPPA MEMJEJASKAN MASA DEPAN PELAJAR!
Kenyataan ini disokong oleh;
1. Pemuda Sosialis Malaysia (PS)
2. Gabungan Mahasisawa Islam SeMalaysia(GAMIS)
3. Malaysia Youth & Student Democratic Movement (DEMA)
4. Gagasan Mahasiswa UITM Semalaysia (GAMUS)
5. Pro Mahasisawa Nasional
6. Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
7. Independent Student Front (INSTEF)
8. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM)
9. Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen(KAMI)
No comments:
Post a Comment