-

-

Thursday, October 15, 2015



KENYATAAN MEDIA: 06 MARCH 2014

 

INSIDEN LOJING: JALANKAN SIASATAN TELUS SERTA LINDUNGI ORANG ASLI

 

Pemuda Sosialis PSM memandang serius akan insiden serangan membabitkan 100 individu yang disyaki pekerja asing keatas penduduk-penduduk Orang Asli di Lojing Gua Musang yang menyebabkan seorang berada dalam keadaan koma dan seorang lagi menerima jahitan akibat kecederaan. Serangan ini dikatakan mempunyai kaitan dengan tuntutan Orang Asli ke atas tanah adat mereka di Lojing.


Sehingga kini pihak Polis masih belum membuat sebarang tangkapan malah tiada sebarang perkembangan terkini mengenai kes serangan berkenaan. Timbul spekulasi mengatakan bahawa pihak Polis tidak mengambil peduli akan kes ini dan menyebelahi majikan yang mengupah pekerja-pekerja yang terlibat dalam serangan ini malah ada juga dakwaan bahawa pihak Polis mengambil pendekatan menyiasat sambil lewa akan kes serangan ini.


Kini beban tanggugjawab untuk membela nasib dan keselamatan komuniti Orang Asli di Lojing diletakkan ke atas Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) apabila wakil Jaringan Kampung-Kampung Orang Asli Malaysia (JKOASM), Shafie Dris menyerahkan aduan kepada SUHAKAM dalam usaha untuk menyelesaikan kemelut dan penderitaan Orang Asli yang selama ini menjadi mangsa rakus kapitalis.


Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan PAS juga dilihat agak lesu dan semacam tidak memberikan penekanan serius terhadap isu membabitkan komuniti ini. Pembangunan itu penting namun harus diingat bahawa pembangunan seharusnya seiring dengan aspirasi sesebuah komuniti dan bukannya pembangunan yang bersifat menjahanamkan tradisi dan budaya komuniti Orang Asli.


Sejak 1995, Kerajaan Negeri Kelantan membenarkan beberapa syarikat menggondolkan kawasan persekitaran yang menjadi tempat tinggal dan buruan komuniti Orang Asli ini dijadikan sebagai kawasan tanaman sayur-sayuran. Sungai Belatop di Kampung Seng Sang misalnya menjadi kotor dan tidak sesuai lagi untuk digunakan oleh masyarakat Orang Asli Suku Temiar disitu. Malah masih tidak jelas sama ada janji kerajaan negeri untuk memberikan geran tanah kepada komuniti Orang Asli di Lojing ini sudah ditunaikan ataupun belum.


Sehubungan dengan itu, Pemuda Sosialis menggesa pihak Polis, SUHAKAM dan Kerajaan Negeri Kelantan untuk bersikap telus, jujur serta membantu menyelesaikan dengan segera tuntutan tanah adat Orang Asli di Lojing yang telah berlarutan sekian lamanya.  Kerajaan Negeri perlu menyatakan pendirian mereka terhadap isu ini dengan kadar yang segera dan bukannya bersikap berdiam diri. Malah, Putrajaya juga perlu bersikap adil dengan membela komuniti Orang Asli diseluruh Malaysia dan bukannya menghalalkan pengusiran dan penindasan yang berlaku keatas Komuniti Orang Asli di negara ini atas nama pembangunan.

 

Disediakan oleh:

Edwin Michael

Setiausaha Agung Pemuda Sosialis

Parti Sosialis Malaysia

0124006470

 


No comments:

Post a Comment