KENYATAAN AKHBAR: 15/11/2014
LAKSANAKAN PENDIDIKAN PERCUMA SEKARANG!
SERUANGERAKAN MENUNTUT PENDIDIKAN PERCUMA(GMPP)
Kami para anak muda, mahasiswa/i dan para pelajar dari Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP) amat kecewa dengan kerajaan Malaysia yang masih enggan untuk melaksanakan pendidikan percuma kepada rakyat Malaysia. Polisi neoliberal dalam sistem pendidikan semakin bermaharajalela dibawah kepimpinan kerajaan Barisan Nasional.
Statistik menunjukkan lebih banyak wang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) disalurkan kepada pihak swasta sejak tahun 2007. Sebagai bukti, kolej-kolej kejururawatan seperti Masterskills (MUCH) menerima peruntukan PTPTN yang paling tinggi iaitu lebih 140 juta setiap tahun. Manakala ribuan graduan kejururawatan tidak mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian. Bagi pengetahuan umum penaung MUCH adalah anak kepada Sultan Perak Datuk Seri Raja Azureen & adik kepada Perdana Menteri Dato Seri Najib, Datuk Mohamed Nazim. Ini baru satu contoh institusi pegajian tinggi malah di Malaysia beratus IPTS dan Kolej swasta yang sedang menikmati keuntungan jutaan ringgit daripada wang PTPTN.
Pada hari ini sejumlah 634 IPTS dan kolej telah diberi lesen oleh Kementerian Pendidikan untuk beroperasi di Malaysia. GMPP mendakwa kegagalan kerajaan mengawal pertumbuhan IPTS dan kolej swasta serta penyertaan badan korporat dan ahli politik menyebabkan pengaliran wang PTPTN yang begitu tinggi ke kocek golongan korup. Ini telah menjadikan pendidikan satu perniagaan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan. Kini yuran pengajian di IPTS melampau tinggi sehingga mencecah 40-60 ribu untuk jurusan Diploma sahaja bagi seorang pelajar. Akhirnya anak muda dijadikan mangsa dengan beban hutang PTPTN yang begitu tinggi.
GMPP turut mempersoalkan nasib graduan pada hari ini untuk melangsungkan kehidupan mereka dalam suasana ekonomi yang cukup mencabar. Kos sara hidup yang semakin meningkat menjadi bebanan tinggi kepada anak muda dan mahasiswa pada hari ini. Kenaikan harga barangan keperluan, kenaikan harga petrol, spekulasi harga rumah masa kini, perlaksanaan cukai GST dan dihimpit pula dengan hutang PTPTN yang tidak mampu dibayar.
GMPP mengecam keputusan kerajaan baru-baru ini yang mengumumkan untuk menyenarai hitamkan peminjam PTPTN dibawah CCRIS adalah satu tindakan yang tidak adil. Daripada laporan audit sendiri menyatakan rasuah di Malaysia lebih 30billion setiap tahun. Persoalan di sini kenapa kerajaan tidak berani menyenarai hitamkan pihak-pihak yang korup dan berasuah supaya wang rakyat berbilion ringgit dapat diselamatkan. Jika pentadbiran kerajaan bersistematik tanpa rasuah dan penyelewengan GMPP berpendirian kerajaan Malaysia mampu memberi pendidikan percuma kepada rakyat Malaysia dari tadika hingga Universit ijazah pertama setiap tahun.
GMPP tegas Pendidikan adalah satu keperluan asas dan bukan komoditi. Pendidikan tidak boleh sama sekali diniagakan atau dijadikan sumber perniagaan oleh mana-mana pihak. GMPP mendesak kerajaan melaksanakan segera pendidikan percuma supaya setiap rakyat Malaysia dapat menikmati pendidikan tanpa sebarang halangan.
Oleh itu, sempena GLOBAL WEEK OF ACTION(TO RECLAIM EDUCATION), GMPP akan mengadakan satu PROTES MENUNTUT PENDIDIKAN PERCUMA di hadapan KLCC pada 21 November 2014, pukul 2.30 petang. Berpuluh-puluh gabungan anak muda dari seluruh dunia akan mengadakan protes serentak di merata dunia bermula dari (17-22 November 2014) menuntut Pendidikan Percuma dan membantah penswastaan institut pendidikan.
Sehubungan itu, GMPP menyeru semua rakyat Malaysia terutama anak muda, mahasiswa/i dan para pelajar untuk turun bersama mendesak kerajaan Malaysia melaksanakan Pendidikan Percuma untuk rakyat Malaysia.
PENDIDIKAN PERCUMA HAK RAKYAT, BUKAN KOMODITI !
Kenyataan ini disokong oleh;
1. Pemuda Sosialis Malaysia (PS)
2. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM)
3. Malaysia Youth & Student Democratic Movement (DEMA)
4. Gabungan Mahasisawa Islam SeMalaysia(GAMIS)
5. Gagasan Mahasiswa UITM Semalaysia (GAMUS)
6. Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
7. Pro Mahasisawa Nasional
8. Independent Student Front (INSTEF)
9. Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM)
10. Sisters In Movement (SIM)
11. Angkatan Rakyat Muda (ARM)
No comments:
Post a Comment