-

-

Thursday, October 15, 2015



KENYATAAN MEDIA: 18 FEBRUARI 2014

 

HENTIKAN PENGEDARAN PIL AJAIB DIMENSI 108 DISEKOLAH DENGAN SEGERA

 

Pemuda Sosialis PSM mendesak Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Kementerian Kesihatan menghentikan pengedaran 'pil ajaib' Dimensi 108 disekolah-sekolah seluruh negara dengan kadar yang segera. 

 

Pil ajaib Dimensi 108 yang kini giat diedarkan semula secara aktif di sekolah-sekolah seluruh Malaysia ini kononnya dikatakan mempunyai kuasa untuk mengubah tingkah laku pelajar serta mampu membantu pelajar meningkatkan prestasi akademik mereka dalam jangka masa pendek iaitu 20 hari.

 

Antara faedah pengamalan pemakanan Pil Ajaib Dimensi 108 ini ialah hormat kedua ibu bapa, boleh membezakan perkara yang baik dan buruk, rajin berusaha dan berdikari, berakhlak baik dan mulia, mempunyai ketahanan terhadap penyakit, mengamalkan gelagat yang positif, cerdas minda [bijak berfikir] dan memiliki fikiran, kesihatan dan rohani yang baik.

 

Tindakan syarikat Tiga G Dimensi Satu Kosong Lapan Sdn. Bhd. ini yang turut mendapat sokongan daripada Majlis Guru Besar Malaysia perlu dihentikan dengan serta-merta sehingga Kementerian Kesihatan melalui Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan memberikan perincian yang jelas berhubung kesahihan kandungan dan kesan pengambilan pil ini.

 

Malah, sikap berdiam diri Kementerian Pendidikan berhubung isu ini nyata menimbulkan tanda tanya sama ada wujud sebarang kepentingan mana-mana individu dalam meluluskan program pengedaran pil ajaib ini untuk diedarkan kepada para pelajar disekolah seluruh Malaysia.

 

Pemuda Sosialis juga menuntut penjelasan kukuh daripada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan sama ada sebarang kajian saintifik secara terperinci telah dijalankan sebelum memberikan pil ajaib ini kepada para pelajar sekolah.  Ini kerana menurut kajian oleh Persatuan Perubatan Malaysia (Malaysian Medical Association) mendapati bahawa sebiji pil ajaib Dimensi 108 seberat 500mg ini hanya mengandungi 95% gula dan 7.5mg atau 1.5% herba. Jika dakwaan ini benar maka secara langsung kerajaan Malaysia menghalalkan satu bentuk jenayah terancang dengan menjadi pelajar-pelajar sekolah sebagai mangsa. Malah, mengikut undang-undang produk makanan, penggunaan ayat 'Kuasa Mengubah Perangai' sebagai "tagline" produk tersebut juga turut menyalahi Peraturan 18(1A), Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

 

Pemuda Sosialis juga merujuk kepada laporan akhbar Sinar Harian bertarikh 30 Ogos 2013 yang menyatakan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan surat pengkelasan produk makanan yang dipaparkan dalam blog produk makanan 'Dimensi 108' yang kononnya dikeluarkan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan kementerian itu bertarikh 21 April 2011, adalah palsu.  Malah, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan bahawa pihak kementerian telahpun membuat satu laporan polis berkenaan isu ini. Apa hasil siasatan pihak Polis berhubung isu ini dan mengapa tiada tindakan susulan diambil keatas syarikat ini?

 

Oleh itu, Pemuda Sosialis menyeru agar ibu bapa menasihati anak-anak mereka untuk tidak mengambil pil gula ini dan pada masa yang sama menuntut penjelasan daripada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan motif pengedaran pil gula ini disekolah.

 

Disediakan oleh:

Edwin Michael

Setiausaha Agung Pemuda Sosialis

Parti Sosialis Malaysia

0124006470

 

 


No comments:

Post a Comment