-

-

Thursday, October 15, 2015



KENYATAAN MEDIA: 29 APRIL 2014

 

HIMPUNAN 1 MEI: KEBANGKITAN KAUM MUDA MENOLAK GST


Pemuda Sosialis, Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyeru seluruh anak muda turun ke himpunan 1 Mei membantah Cukai GST yang bakal memiskinkan lagi rakyat Malaysia. Berdasarkan statistic yang diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Wahid Omar di Parlimen, kadar pengangguran anak muda berusia dalam lingkungan 15-24 pada tahun 2012 adalah amat tinggi iaitu sebanyak 10.3% berbanding dengan negara-negara jiran seperti Thailand dan Singapura yang masing-masing mencatatkan 2.8% dan 6.7% sahaja.


Malah berdasarkan Laporan Ekonomi 2011/2012 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan pula menunjukkan 308,371 penganggur berdaftar terdiri daripada anak-anak muda yang berumur 15-29 tahun.  Ini belum lagi mengambil kira perangkaan oleh Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri yang menyatakan bahawa jumlah keseluruhan isi rumah  tegar di negara kita termasuk di Sabah dan Sarawak ialah 15,805 orang  manakala jumlah isi rumah miskin pula ialah 108,000 orang.


Cukai GST ini bukan sahaja bakal menjahanamkan kehidupan rakyat yang miskin dan miskin tegar malah akan pasti merencatkan kehidupan ekonomi anak-anak muda yang berpendapatan rendah, para pelajar serta golongan  penganggur. Peningkatan kos sara hidup yang mendadak dan kos barangan serta perkhidmatan yang gagal dikawal oleh regim Barisan Nasional ini merupakan satu malapetaka kepada anak-anak muda dalam menguruskan ekonomi harian mereka yang cukup membebankan.


Pengenalan cukai GST ini tanpa apa-apa mekanisma yang boleh mengurangkan beban ekonomi anak-anak muda ini merupakan satu penindasan yang terancang oleh kerajaan terhadap anak-anak muda. Cukai ini hanya akan meluaskan lagi jurang antara yang miskin dan kaya memandangkan anak-anak muda yang tidak pernah membayar cukai sebelum ini pun dipaksa untuk membayar cukai GST.


Himpunan 1 Mei bukan sahaja kebangkitan anak muda bersama kaum pekerja tolak Cukai GST malah ia juga satu amaran kepada regim Barisan Nasional agar hentikan segala penindasan terhadap rakyat marhein. Pemuda Sosialis optimis bahawa perhimpunan 1 Mei lebih ramai anak muda akan bangkit dan turun ke jalan raya.

Ayuh anak muda, pada  1 Mei jam 2.00 petang, kita berarak dari KLCC ke Dataran Merdeka membantah GST demi masa depan rakyat Malaysia!!!!

Disediakan oleh:

Bawani KS

Ketua Pemuda Sosialis

Parti Sosialis Malaysia

0169008202


No comments:

Post a Comment