-

-

Wednesday, September 5, 2007

Fwd: Mampukah kehakiman Membunuh Perjuangan rakyat ?


Hak Bekas Penduduk Ladang Kamiri dinafikan Mahkamah Rayuan

Mampukah Kehakiman Membunuh Perjuangan Rakyat ?

  

Pada 26 Ogos 2007, penduduk Ladang Kamiri, Sg Siput (U), Perak telah berkumpul di Mahkamah Rayuan, Putrajaya untuk mendengar keputusan rayuan mereka terhadap hak dan  tuntutan terhadap majikan ditunaikan. Malangnya, titik peluh mereka sejak tiga generasi di ladang ini telah diabaikan dalam masa kurang 30 minit. Rayuan mereka ditolak.

 

Dalam perbicaraan tersebut, peguam pekerja, Sdr. Vengkat yang mewakili penduduk Ldg Kamiri telah mengutarakan janji yang ditaburkan oleh pihak majikan kepada pekerja ladang untuk melaksanakan skim perumahan. Tetapi malangnya selepas dibuang kerja, pihak majikan menolak sebarang usaha untuk menunaikan janji palsu. Hakim, Dato' Zulkefli bin Ahmad Makinudin pula bertanya adakah betul tindakan bekas pekerja ini menduduki kuarters ladang dan mengapa tidak keluar dulu dan baru meminta tuntutan ? Dalam hujah balasannya, peguam dari Skrine mewakili majikan Guthrie pula mengatakan kononnya pihak majikan hanya membuat cadangan untuk mendapatkan maklum balas mengenai skim perumahan dan bukannya janji seperti yang dikatakan.

 

Sdr Venkat akhirnya berhujah bahawa kita perlu melihat isu ini sebagai satu perjuangan hak asasi antara 22 buah kelaurga miskin melawan satu gergasi perladangan, Guthrie. Malangnya, sistem kehakiman hanya melihat apa yang diperuntukkan dalam perundangan dan bukannya hak rakyat jelata. Kes rayuan ini ditolak dengan kos secara sebulat suara.

 

Di luar perkarangan mahamah, semua bekas penduduk berkumpul dan meluangkan perasaaan mereka. Dr. Kumar, Pengerusi PSM Cawangan Sg. Siput dalam ucapannya mengatakan adalah mustahil untuk mendapat pampasan jika keluar dari ladang kerana Guthrie tidak akan mempedulikan kita. Apa yang penting sekarang katanya ialah lawan dan meneruskan perjuangan kerana ia baru sahaja bermula.

 

Peguam, Sdr Vengkat pula mengatakan kita masih boleh membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan tetapi kos perlu diambil kira. Wakil jawatankuasa penduduk ladang, Sdr Kanniah pula mengatakan pihak yang mendapat gaji yang cukup dan kemudahan asas yang selesa mampu kumpul duit dan beli rumah. Bagaimana pula dengan pekerja miskin seperti mereka yang sepanjang masa menerima gaji murah dan berjuang untuk hidup.

 

Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, Sdr Arul secara sinis mengatakan sepanjang pengalamannya dalam perjuangan masyarakat ladang, semua yang menang dalam tuntutan mereka pernah kalah di mahkamah. Katanya, keputusan mahkamah ini adalah tidak menghairankan kerana undang-undang dalam sistem kapitalis tidak akan memihak kepada warga kelas pekerja. Sdr Segar dari Alaigal memberi semangat kepada para pekerja dengan memberitahu pengalamannya di Tanah Hitam di mana seorang pekerja di situ ada mengatakan bahawa ayam yang dipotong kepalanya masih mampu bergelut menendang kakinya, inikan kita manusia. Katanya kita harus berjuang. Saudari Rani dari PSM Buntong dan Saudari Saras dari Gabungan Pekerja Kilang menegaskan pertembungan kelas kini akan lebih terserlah dan perjuangan harus diteruskan.  Saudara Sugumaran mewaliki Jawatankuasa Masyarakat Ladang (JSML) pula dengan semangat berkata perjuangan kelas yang benar sudah bermula dan tindakan di peringkat akar umbi perlu diperkuatkan. Penduduk pula dengan semangat waja mendukung untuk berjuang sehingga titik darah terakhir.

 

Kita sekali lagi melihat kegagalan sistem kehakiman untuk mewakili hak warga pekerja jelata sambil menjunjung kepentingan warga gergasi kapitalis. Ada yang menyindir dengan mengatakan jika tidak percaya kepada sistem ini mengapa berjuang di mahkamah. Kita perlu menyedarkan rakyat melalui pengalaman bahawa sistem ini adalah salah dan tidak boleh pakai. Ia hanyalah satu lagi jentera sistem kapitalisma dan kemenangan perjuangan hanya lahir daripada kuasa pekerja itu sendiri.

 

Hidup Perjuangan ! Hidup Rakyat

Sugumaran JSML

 

 


No comments:

Post a Comment