-

-

Wednesday, January 22, 2014

KENYATAAN MEDIA PEMUDA SOSIALIS 17 JANUARI 2014

KENYATAAN MEDIA : 17 JANUARI 2014


KEHILANGAN NYAWA 4 PEKERJA NEPAL DI POKOK SENA, KEDAH - SATU MALAPETAKA SERIUS!

 

Insiden protes lebih 200 pekerja asing dari Nepal di sebuah kilang papan di Kedah tidak seharusnya dianggap sebagai isu yang remeh. Pihak media dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) cuba klasifikasikan isu ini sebagai isu rusuhan, padahal ia hanyalah satu protes yang cukup rasional membantah sikap majikan yang enggan mengambil berat akan kebajikan pekerja.


Kumpulan pekerja terbabit bertindak demikian kerana dilaporkan sekurang-kurangnya tiga kematian mengejut membabitkan pekerja berlaku di asrama berkenaan dalam tempoh sebulan. Protes berkenaan dikatakan untuk meminta majikan mereka mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan rakan mereka yang dikatakan ketika itu mengalami sesak nafas. Ketegangan berlaku apabila pihak majikan tidak mengendahkan permintaan itu, malah pihak majikan juga dikatakan bimbang untuk mengadakan pertemuan berikutan kehadiran pekerja warga asing yang terlalu ramai.


Di Malaysia terdapat lebih kurang 3.5 juta pekerja imigran, dan mereka meliputi 30% daripada tenaga buruh di Malaysia yang menyumbang kepada ekonomi Malaysia. Pada akhirnya, apakah layanan yang majikan berikan kepada pekerja-pekerja imigran ini? Menindas dengan polisi gaji murah, kerja keras, tidak memberi tempat tinggal yang selesa dan tidak menghormati hak dan kebajikan mereka secara keseluruhan. Malah ada majikan yang memberikan layanan seperti binatang terhadap pekerja imigran di Malaysia.


Hakikatnya hak asasi dan kebajikan buruh imigran di negara masih terabai dan berada pada tahap yang amat menyedihkan.Sementara laporan Amnesty Internasional pada 21 November 2013 menyebutkan, ribuan buruh imigran Indonesia dieksploitasi di Hongkong dan dijadikan sebagai hamba moden maka apa jaminan perkara itu tidak akan terjadi di negara ini memandangkan kerajaan kita hanya mengambil langkah-langkah minimum dalam menjaga kebajikan buruh-buruh imigran ini.


Pemuda Sosialis Malaysia memandang serius tingkahlaku majikan yang tidak bertanggungjawab dalam insiden kematian pekerja-pekerja Nepal ini dan juga penyalahgunaan kuasa oleh Pihak PDRM terhadap pekerja-pekerja Nepal ini. Penahanan tiga pemimpin pekerja Nepal ini tidak masuk akal. Sepatutnya majikan kilang ini yang patut ditahan dan disiasat.


Maka dalam konteks ini, Pemuda Sosialis Malaysia menggesa pihak yang berkenaan untuk melancarkan satu siasatan terhadap pihak majikan kilang berkenaan demi memastikan kematian empat buruh imigran ini bebas daripada unsur-unsur eksploitasi dan perhambaan moden serta pada masa yang sama menggugurkan dakwaan jika ada terhadap tiga pemimpin pekerja yang ditahan oleh pihak PDRM.


Edwin Michael

Setiausaha Agung Pemuda Sosialis

Parti Sosialis Malaysia

No comments:

Post a Comment