-

-

Wednesday, January 22, 2014

KENYATAAN MEDIA PEMUDA SOSIALIS 16 JANUARI 2014

KENYATAAN MEDIA : 16 JANUARI 2014


APA MOTIF MB TERENGGANU KETUAI LAWATAN KE ANTARTIKA?


Pemuda Sosialis, Parti Sosialis Malaysia memandang serius isu melibatkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang akan mengetuai delegasi Malaysia dalam lawatan kerja ke Antartika bermula 18 Januari ini hingga 2 Februari depan.


Hakikat mengetahui bahawa program yang dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar itu bertujuan membuka laluan bagi kerajaan menubuhkan sebuah stesen penyelidikan kendalian bersama dengan Instituto Antartico Chileno (INACH), Chile.


Negara sudah berada dalam persimpangan dilema apabila kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang gagal ditangani oleh kerajaan Barisan Nasional dan keadaan ekonomi bertambah teruk dengan hutang negara kini berada dalam paras 57.3% daripada KDNK negara iaitu berjumlah RM545.60bilion.


Projek angkawasan 'Penumpang' yang pertama menelan kos RM95 juta dan kos sebanyak ini ditanggung oleh rakyat Malaysia. Hingga ke hari ini, kita masih tidak tahu dengan jelas objektif sebenarnya projek ini dan manfaat kepada rakyat Malaysia. Kini, sekali lagi projek yang diketuai oleh Menteri Besar Terengganu ini juga kelihatan samar. Kenapa seorang Menteri Besar yang ketuai projek ini dan bukannya Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar?


Isu alam sekitar tempatan pun kerajaan negeri Terengganu gagal tangani inikan pula mahu ketuai misi penyelidikan berkaitan perubahan cuaca dunia. Isu hakisan pantai yang berlaku dari Besut hingga ke Kemaman serta di Pantai Tok Jembal, isu Hutan Gelam Air yang terancam akibat aktiviti pembersihan hutan paya gelam serta pembinaan prasarana Ladang Akuakultur Ternakan Udang Bersepadu yang bernilai RM290 juta, isu pembalakan haram di Hutan Simpan Kekal Gunung Tebu, Hutan Simpan Bukit Bauk, Hutan Simpan Tembat dan Hutan Simpan Petuang. Jenayah alam sekitar yang dihalalkan oleh kerajaan negeri Terengganu ini sama ada secara langsung atau tidak langsung turut menjadi penyumbang kepada perubahan iklim serantau.


Pemuda Sosialis tidak menentang misi penyelidikan ini namun misi ini haruslah mempunyai kewajaran yang jelas dan bukannya dijadikan sebagai platform oleh golongan politikus ini untuk pergi bercuti  menggunakan duit rakyat.


Disediakan oleh:

Edwin Michael

Setiausaha Agung Pemuda Sosialis

Parti Sosialis Malaysia

 

 

No comments:

Post a Comment