-

-

Sunday, March 13, 2011

Kem Pemuda Sosialis PSM ke-5

Kem ideology kali ini telah diadakan di Nur Sg Merab, Hulu Langat, Selangor pada 12&13hb Mac 21. Kem anak muda dari Parti Sosialis Malaysia kali ini adalah khusus untuk memberi sesi kepimpinan dan penubuhan Skuad Merah Pemuda Sosialis.


Kem yang disertai oleh lebih kurang 20 kordinator Pemuda Sosialis daripada Sg Siput, Kajang, Ampang, Subang dan Semenyih ini dimulakan dengan nyanyian lagu Internationale dan seterusnya sesi evaluasi diri (soul searching) yang dijalankan oleh Sdr Karti (penulis) . Antara soalan yang berbangkit ialah imbas kembali kehidupan sejak setahun yang lalu serta masalah berbangkit dalam kumpulan. Semua pemuda memberitahu mereka mahu meningkatkan penglibatan dalam Pemuda Sosialis untuk meneruskan perjuangan kita.

Seterusnya, Sdr Rani, ahli Pusat PSM memberikan sesi kepimpinan kepada peserta. Beliau menegaskan bagaimana pejuang-pejuang rakyat memulakan perjuangan mereka pada usia muda seperti Bhagat Singh dan Veeraseenan dan memberitahu bahawa usia bukan satu halangan untuk berkhidmat kepada masyarakat. Sdr Rani turut membuat bengkel mengenai masalah-masalah pokok di Malaysia dan siapakah yang menjadi dalang dan punca kepada semua masalah tersebut. Antara yang diberitahu ialah kita sering melihat sesuatu isu itu secara atasan sahaja dan bukan membuka punca akarnya. Di situ juga, beliau menyuarakan ‘value’ yang perlu ada pada seseorang yang mahu memimpin massa termasuklah sabar, kritis, bertanggungjawab, berani , ‘humble ‘ dan jujur.

Selepas minum teh, sesi diterusnya ialah perkongsian pengalaman oleh Unit Amal Parti PAS yang diberikan oleh Sdr Sharifuddin dan rakan-rakan beliau. Tujuan utama sesi ini ialah untuk mendapat gambaran awal untuk penubuhan Skuad Merah. Sdr Sharifuddin memberitahu bagaimana Unit Amal Pas dimulakan sejak tahun 1991 dan memberi bantuan kebajikan kepada rakyat sekitar.Sikap mendekati masyarakat itulah yang menyebabkan mereka boleh membina kumpulan mereka sehingga sekarang. Beliau menegaskan kepentingan disiplin dna mengesyorkan Skuad Merah untuk menubuhkan struktur organisasi yang tersusun dan sudi untuk menghulurkan bantuan latihan kepada kami.
 
Petangnya pula, peserta bermain futsol di padang kem dan kemudiannya makan malam. Sesi seterusnya ialah daripada Sdr Hishammudin Rais, seorang aktivis sosialis. Tajuk yang beliau bentangkan ialah ‘ Seni dan Perjuangan’ di mana beliau menjelaskan bagaimana seni boleh dibahagikan kepada bentuk dan isi dan adakah kita menggunakan seni tersebut untuk menjelaskan sesuatu isi (mesej). Istilah yang beliau sering tonjolkan ialah ‘agitprop’- ringkasan untuk agitasi dan propaganda di mana agitprop patut ada dalam seni yang kita gunakan untuk memberitahu mesej dan ideologi kita kepada masyarakat. Beliau juga memberitahu bahawa dalam ketika Malaysia dalam sistem pemerintahan yang menindas dan korup, pengkhususan dalam isi adalah lebih penting daripada bentuk penyampaian seni itu dan bersedia untuk memberi latihan dan bengkel kepada pemuda sosialis mengenai seni rakyat dalam masa terdekat.

Malam kem disudahi oleh tayangan filem perjuangan bertajuk “ilainyan” – sebuah filem tamil mengenai penindasan majikan kilang dan bagaimana pekerja berjuang untuk pembebasan diri mereka.

Hari seterusnya dimulakan dengan sesi perbincangan mengenai ‘kekuatan Pemuda Sosialis yang diberikan oleh Sdr Bawani. Peserta dipisahkan kepada tiga kumpulan dan setiap peserta memberitahu kekuatan dan kelemahan dalam Pemuda Sosialis. Semua memberi hujah masing-masing untuk meneliti kelemahan yang wujud dan bagaimana ia wujud serta cara mengatasinya. Sdr Bawani menegaskan kepentingan Pemuda Sosialis mengatasi isu-isu yang wujud dan memastikan kesinambungan dalam usaha tersebut agar masalah berbangkit tidak timbul balik. Seterusnya, Sdr Selvam daripada kepimpinan tertinggi PSM memberi sesi mengenai ciri-ciri untuk penubuhan Skuad Merah oleh Pemuda Sosialis dan berkongsi maklumat mengenai kumpulan ‘ marshal ’ parti daripada negara-negara lain seperti Korea dan India. Beliau memberitahu kepentingan Pemuda Sosialis menyedari intipati skuad ini yang seharusnya bersifat sosialis dan bergerak dalam landasan yang berdisiplin serta berani semasa berjuang bersama kaum pekerja.

Sdr Santhana pula menjelaskan plan tindakan Skuad Merah termasuk kerja-kerja susulan seperti menghadiri mesyuarat Hari Buruh yang menjadi platform pertama untuk skuad ini. Antar kerja-kerja yang dicadangkan ialah rekacipta seragam skuad dan pemilihan ahli daripada Pemuda Sosialis. Selepas makan tengah hari, Sdr Santhana memberitahu bagaimana hala tuju Pemuda Sosialis selepas ini dan kerja-kerja yang perlu dilakukan untuk menarik lebih banyak anak muda menyertai kumpulan dan program. Setiap kumpulan memberikan cadangan masing-masing dan kerja-kerja susulan dan pengimplementasi akan dijalankan.

Program disudahi dengan sesi evaluasi keseluruhan kem oleh Sdr Bharathi dan rata-rata semua peserta merasakan kepentingan untuk pemuda lebih aktif dan mampu untuk maju ke depan kerana kita dipersenjatakan dengan ideologi yang kukuh dan relevan sehingga pertembungan kelas wujud antara kaum penindas dengan kau pekerja.

Oleh :

Karti
Pemuda Sosialis PSM




2 comments: