-

-

Saturday, December 11, 2010

Kem Kesihatan oleh Kumpulan RED dan Hospital Fatimah


Kem Kesihatan ini dianjurkan bersama oleh Hospital Fatimah dan Kumpulan Bimbingan Percuma RED. Kem ini berlangsung di Kg PPMS, Sg Siput pada 11/12/2010 dengan kehadiran peserta lebih kurang 180 orang yang dikendalikan oleh dua doktor pakar dari Hospital Fatimal berserta hampir 10 staf dan jururawat mereka. Kordinator dari RED dan Kumpulan Anak Muda berorientasikan kesihatan, Inteyo turut membantu menjayakan program ini.

RED ialah  sekumpulan anak muda progresif yang menjalan kelas bimbingan percuma di sekitar Sg Siput termasuk di Kg PPMS, Kg Belakang Shin Chung, Kg Baru Rimba Panjang dan Ladang Sg Siput (Batu Lima). Kelas di PPMS dijalankan bersam Sdr Susan dari Ipoh dan beliaku merupakan kordinator utama untuk kem kesihatan kali ini.

Kami dapati ramai kanak-kank di sini mendapat penyakit dan kurang nutrisi. Antara sebab yang dikenalpasti ialah kegagalan mendapatkan suntikan vaksin dan kedudukan kampung yang jauh dari pekan. Mereka tiada punca pengangkutan awam dan buktinya pada tahun lalu sahaja hampir 15 pelajar sekolah menengah tidak pergi ke sekolah kerana sangat jauh dan tidak mampu membayar yuran bas.

Sebenarnya, kampung ini diwujudkan untuk menempatkan masyarakat miskin dari sekitar Sg Siput pada tahun 2007 tetapi janji tanah yang mahu diberikan kepada mereka tidak ditunai dan ini menyebabkan mereka terperangkap dalm kampung yang sangat jauh ini dan kini ramai penduduk terpaksa berpindah kerana masalah kemiskinan dan punca pendaptan yang tidak tetap.

Isu tanah ini telah dibawa kepada perhatian pihak pentadbit tanah dan Menteri Besar Perak dan malah penduduk pernah berdemo di hadapan Pejabat Menteri Besar Perak untuk menuntut keadilan (http://parlisosialis.blogspot.com/2009/08/demo-oleh-penduduk-ppms-sg-siput-di.html),  namun sehingga hari ini, tiada sebarang maklum balas daripada pihak berkuasa.

Kami percaya masalah sosial seperti kesihatan ini berpunca daripada masalah ekonomi mereka yang dicabuli oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan penduduk harus terus berjuang untuk hak terhadap tanah mereka.

Koleksi gambar kem kesihatan ini boleh didapati di http://picasaweb.google.com/sboyzss/KemKesihatanRED?authkey=Gv1sRgCPHym8jF_OSj9wE#

Salam Revolusi

Kartimn
Pemuda Sosialis

Saturday, June 19, 2010

Pemuda Sosialis Membantah Pemberhentian Pinjaman PTPTN kepada Sdr Ahmad Shukri Kamarudin


psm with wording logoKenyatan Akhbar - 19 Jun 2010

Kami, Pemuda Sosialis PSM membantah keras tindakan tidak adil pihak PTPTN yang menghentikan pinjaman pendidikan kepada Sdr Ahmad Shukri, penuntut Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) atas tuduhan mengambil bahagian dalam pilihanraya kecil Hulu Selangor. Tuduhan itu kemudiannya dinafikan oleh Sdr Ahmad Shukri , yang antara lainnya menyatakan beliau menghadiri pilihanraya tersebut atas kemahuan sendiri dan tidak mewakili sebarang  badan atau parti politik tertentu.

Malah, tindakan terlampau PTPTN untuk memblok permohonan pinjaman pelajar baru KUIS untuk memaksa pihak pentadbiran KUIS mengambil tindakan terhadap Sdr Ahmad Shukri juga amat mengecewakan. Pihak PTPTN menjustifikasi tindakan mereka (baca=atas arahan kementerian pelajaran) adalah  selaras dengan perjanjian PTPTN yang antara lainnya menyatakan …. Pelajar tidak boleh terlibat atau mengambil bahagian dalam kerja-kerja politik, kesatuan atau sebarang tindakan yang bertentangan dengan kepentingan kaum pelajar atau negara.

Pemikiran kolot pihak pemerintah dan PTPTN hanya akan membantutkan perkembangan sihat pemikiran golongan pelajar di Negara ini. Kaum pelajar di Malaysia disekat oleh pihak berkuasa BN untuk melihat, membincangkan dan meluahkan pandangan mereka terhadap isu-isu yang berlaku di sekeliling mereka. Sekatan untuk pelajar berdikari dan berfikir sendiri bagaikan menggali kubur masa depan pembangunan negara . PTPTN harus ingat bahawa jangka hayat mereka dilanjutkan dengan riba yang dibayar oleh anak muda kita.

Pemuda Sosialis berpendirian pendidikan negara kita sedang diniagakan oleh segelintir golongan kaya dan pemberian pinjaman monopoli sebegini adalah untuk mengikat anak muda kita menjadi hamba hutang dan juga untuk mengawal mereka daripada memberi pandangan yang bertentangan dengan kepentingan golongan kaya  dan berkuasa.

Jesteru, Pemuda Sosialis mahu :

1.       PTPTN harus manarik balik sekatan pinjaman terhadap Sdr Ahmad Shukri
2.       Pihak berkuasa harus menghormati hak pelajar untuk melihat isu, membincangkan masalah dan meluahkan pandangan mereka
3.       Jangan Niagakan Pendidikan. Kerajaan harus membawa dan melaksanakan satu sistem pendidikan percuma sehingga ke tahap universiti. Hapuskan PTPTN

Pendidikan Percuma Untuk Semua

Oleh

Karti
Pemuda Sosialis PSM
email : sboyzss@gmail.com
Tel : 0194625924

Tuesday, June 1, 2010

Laksanakan Pendidikan Percuma Sehingga ke Universiti

Laungan di Kongres Pemuda Sosialis Pertama 2010

Pemuda Sosialis PSM telah Berjaya mengadakan Kongres Nasional mereka buat kali pertama pada 30/5/2010 yang lalu. Ini merupakan kongres pertama anak muda berhaluan kiri di bumi Malaysia untuk satu jangka masa yang begitu lama.

Kongres diadakan di dewan komuniti, Kota Damansara dari pukul 9.00 pagi hingga 5 petang. Seramai 31 orang delegasi bersama hampir 15 pemerhati Pemuda Sosialis dari semua cawangan Parti Sosialis Malaysia mengambil bahagian. Pemuda Sosialis dari Sg Siput, Kajang, Semenyih, Ampang, Subang, Semenyih, Klang, dan Anak Muda Alaogal serta CDC telah duduk dan membincangkan hala tuju dan intipati khusus pergerakan Pemuda Sosialis di Malaysia.

Kongres dimulakan dengan nyanyian lagu ‘Internationale’ dan seterusnya ucapan khas daripada Pengerusi PSM, Sdr Dr Nasir. Ini diikuti pula dengan ucapan dan laporan setiap kumpulan Pemuda Sosialis. Sdr Santhana pula kemudiannya membincangkan Jadual Kelas yang menerangkan siapakah musuh dan lawan kita dalam perjuangan ini.

Perdebatan usul menyusul kemudiannya. Sesi ini dikendalikan oleh Sdr Bawani di mana beberapa perdebatan yang hangat telah didaksikan oleh para peserta. Seperti biasa delegasi dari Alaigal memulakan debat dengan usul untuk mengubah had usia Pemuda Sosialis daripada 30 tahun kepada 35 tahun. Namun, rata-rata para delegasi yang lain masih mahu had usia tersebut dikekalkan dan had permulaan pula disetujui untuk dikurangkan kepada 13 tahun. Kekerapan Mesyuarat Nasional juga dicadangkan untuk dikurangkan tetapi dikekalkan untuk setiap bulan. Antara perkara lain yang dibincangkan ialah kerja akar umbi perlu diberi perhatian yang lebih untuk membina anak muda kita dan di samping itu, kordinasi pusat juga perlu untuk mengerakkan kempen nasional iaitu Kempen Pendidikan Percuma.

Selepas makan tengah hari, pilihanraya pusat Pemuda Sosialis telah berjalan dan dikendalikan oleh Anak Muda dari DEMA. Jawatankuasa pusat telah dipilih oleh delegasi untuk tempoh dua tahun akan datang. Selain jawatan Pengerusi yang menang tanpa bertanding, semua jawatan lain telah dipertandingkan. Seterusnya, perancangan program untuk satu tahun akan datang telah dibincangkan dan tiga program nasional telah dipersetujui iaitu Malam Revolusi. Kem Anak Muda Sosialis dan Konres Pemuda Sosialis PSm yang akan dikordinasi sepenuhnya oleh kita. Program untuk kumpulan masing-masing dan program bersama PSM akan diputuskan oleh kumpulan masing-masing. Mesyuarat Pusat Pemuda Sosialis akan diadakan untuk setiap bulan.

Seterusnya, satu usul telah dipersetujui untuk dibawa ke Kongres PSM pada 4-6 Jun ini. Usul tersebut mengesa semua cawangan PSM wajib menubuhkan Pemuda Sosialis untuk cawangan masing-masing. Perwakilan Negeri digalakkan untuk berbuat demikian. Usul ini akan didebatkan dan dibawa untuk diluluskan di kongres tersebut itu nanti.

Seterusnya, beberapa resolusi telah dipersetujui untuk dilaungkan kepada pihak berkuasa Malaysia. Antaranya:

1. Menentang pengimplimentasian cukai GST
2. Menyediakan satu sistem perumahan yang menyeluruh dan murah untuk rakyat Malaysia Menentang Perumahan Flat
3. Hentikan penswastaan perkhidmatan awam.
4. Memberi pendidikan percuma kepada semua pelajar dari sekolah rendah hingga ke universiti
5. Menuntut kerajaan mengimplementasikan akta gaji minima
6. Kerajaan harus sediakan Pusat sukan komuniti di setiap taman perumahan
7. Subsidi dikekalkan
8. Membantah penjanaan tenaga nuklear
9. Menentang penyalahgunaan kuasa polis
10. Mansuhkan pusat tuisyen yang bermotifkan keuntungan
11. Pilihanraya tempatan harus diimplementasikan semula
12. Malaysia membenarkan bekas pejuang kemerdekaan dari Parti Komunis Malaysia termasuk Chin Peng untuk masuk dan menetap di Malaysia
13. Hapuskan semua akta-akta zalim – seperti AUKU,ISA, OSA dan sebagainya
14. Kerajaan harus menjadi pengganti along dalam memberi pinjaman yang murah dan mudah kepada kaum pekerja.
15. Menentang sebarang polisi imprelisme – tidak boleh menggunakan kuasa ke atas negara lain untuk agenda kapitalis.

Kongres disudahi dengan ucapan daripada setiap kumpulan Pemuda Sosialis dan juga daripada pemerhati dari Sg Petani, Sdr Karthik dan Sdr Velmurugan. Sdr Selvam dari PSM Subang yang juga merupakan antara ahli pengasas parti PSM telah menyarankan Pemuda Sosialis untuk berdikari dan menentang sikap liberal dalam diri masing-masing. Sdr Letchumi yang merupakan ahli pusat PSM memberitahu bahawa kekuatan anak muda ialah besar dan semua anak muda harus bersatu menentang ketidakadilan yang wujud.

Ucapan penutup pula diberikan oleh Setiausaha Agung PSM iaitu Sdr Arul yang memberi tahniah kepada Pemuda Sosialis yang telah berjaya mengadakan kongres nasional pertama mereka. Selain menekan kepentingan anak muda, beliau juga memberitahu pemuda perlu mempunyai identiti yang tersendiri dan menyebarkan ideologi sosialis melalui kerja akar umbi mereka. Beliau memberi contoh bagaimana umur tidak harus dijadikan halangan untuk perjuangan dan bagaimana Chin Peng telah mula memperjuangkan kemerdekaan pada usia 16 tahun dan Veerasenan pula telah dibunuh oleh penjajah British pada usia 22 tahun kerana berjaya memobilisasi kaum pekerja untuk menuntut kemerdekaan.

Saudari Bawani akhirnya mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah bekerja untuk menjayakan kongres Pemuda Sosialis kali ini dan berharap ini merupakan satu langkah awal untuk membawa obor perjuangan kelas oleh anak muda di bumi Malaysia.

oleh:

Karti
Pemuda Sosialis

Thursday, March 18, 2010

Kem Anak Muda PSM, Semenyih 2010


Kem anak muda PSM tahun ini diadakan di Sukida Resort, Semenyih dari 13-16hb Mac 2010. Seramai 52 orang termasuk kordinator Pemuda Sosialis dan komrad dari Sweeden menghadiri kem ini. Program ini merupakan program tahunan untuk Pemuda Sosialis PSM. Kordinasi kem dilakukan bersama oleh Sdr Bawani dan Sdr Santhana dari Pemuda Sosialis PSM.

Tema tahun ini ialah Kempen Pendidikan Percuma – satu analisa sosialis.Seperti biasa konsep pratikaliti (lawatan ke kampong masyarakat tertindas), teori ( ideologi sosialis) dan perancangan akan menjadi intipati kem.  Partisipasi dari anak muda semua cawangan PSM seluruh Malaysia (Sg Siput, Subang, Semenyih, Port Klang, Bangi, Kajang, Ampang, Johor) menghidupkan semangat solidariti dan perjuangan di kem ini.

Kem dimulakan dengan anak muda berkumpul di Stesen Komuter Kajang dan bertolak ke resort. Sesi pertama lebih kepada suai kenal dan ‘ice breaking’. Kahadiran hujan telah menundakan program lawatan ke kampong Orang Asal dan selepas makan malam, sesi ideologi pertama dimulakan oleh Sdr Karti, kordinator Pemuda Sosialis. Sesi bertajuk Sejarah Masyarakat Tertindas dan Kapitalisma ini adalah untuk mengenali siapa musuh kita dan siapa kawan kita. Sdr Karti juga telah menerangkan punca masyarakat tertindas di Malaysia ialah disebabkan oleh kaum majikan dan bukannya merupakan isu perkauman.

Sesi seterusnya bertajuk ‘Diskriminasi dan Agama’ yang diberikan oleh Komrad Sivaranjini dari PSM Klang dan CDC. Sdr Siva menekankan perasaan anti perkauman dengan memberikan penjelasan pratikaliti melalui bengkel dan mengesa anak muda supaya melihat semua masyarakat pelbagai kaum sebagai sahabat perjuangan dan melawan kaum tertindas (kapitalis).

Hari kedua dimulakan dengan lawatan ke Kg Sg Lalang, sebuah penempatan masyarakat Orang Asal di Semenyih. Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta akan kehidupan masyarakat yang tertindas di Malaysia dan memberitahu semua liputan masyarakat tanpa mengira kaum ditindas oleh sebuah golongan penindas yang perlu ditentang. Semua peserta dapat mendekati masyarakat Orang Asli di sini dan menanyakan pelbagai soalan berkaitan kehidupan mereka. Sekembali ke kem, satu sesi bertajuk ‘Sistem pendidikan di Malaysia dan Negara Sosialis’ dibentangkan oleh Komrad Nithiya dari PSM Seremban. Sdr Nithiya memberi penjelasan bagaimana sistem pendidikan di Malaysia lebih jurus kepada keuntungan dan kepentingan orang kaya manakala di negara sosialis seperti Venezuela, sistem pendidikan mereka ialah percuma sehingga ke Universiti. Malah sistem pengangkutan dan makanan untuk anak muda yang belajar juga percuma di negara sosialis tersebut. Beliau mengajukan soalan mengapakan situasi ini berlaku?

Sesi seterunya pula dihangatkan dengan tema ‘debat ala Parlimen’ di mana Komrad Santhana mengajukan beberapa soalan dan dua kumpulan perlu berdebat untuk mempertahankan isu tersebut. Nampaknya, anak muda kita jauh lebih berhemah dan pandai dalam berhujah ala Parlimen berbanding segelintir Ahli Parlimen Malaysia yang mengeluarkan kata-kata jijik yang menghina segelintir kumpulan atau masyarakat.

Selepas makan malam, Komrad kita dari Sweeden membentangkan kerja-kerja anak muda kiri di negara mereka dan menekankan kepentingan ideologi dalam membentuk anak muda masa kini. Seterusnya, filem popular ‘Avatar’ ditayangkan melalui projektor untuk tatapan peserta. Filem Avatar dipilih kerana nilai sosial yang tinggi yang dibawa dalam file mini terutamanya perjuangan masyarakat tertindas melawan kuasa kapitalis yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata.

Hari Ketiga merupakan hari di mana  anak muda kem seharusnya mengambil bahagian dalam demonstrasi di hadapan Parlimen untuk menentang perlaksanaan cukai GST oleh kerajaan namun ianya ditundakan setelah bacaan bill GST ditunda oleh Perdana Menteri. Kem hari ini dimulakan oleh satu sesi oleh saudara Babu yang menerangkan pembinaan gerakan anak muda di Malaysia dan situasi masa kini. Beliau menerangkan bagaimana anak muda dijadikan produk untuk majikan dan bukannya untuk masyarakat. Seterusnya, peserta mengunjungi air terjun yang berdekatan untuk beristirehat. Selepas makan tengah hari, satu sesi mengenai pengenalan cukai GST diberikan oleh Komrad Sevan dari PSM Kajang. Sdr Sevan menerangkan keburukan yang akan dialami oleh rakyat Malaysia sekiranya cukai ini diimplimentasi di mana cukai koperat akan dimomokkan kepada rakyat jelata.  Pada tengahari pula, sesi melukis banner bertemakan cukai GST dimana para peserta mununjukkan bakat lukisan mereka. Persediaan untuk drama progresif juga diadakan di mana setiap kumpulan diberikan satu isu berkaitan pendidikan percuma dan peserta harus membuat satu drama berdasarkan isu tersebut. Peserta juga harus menggubah satu lagu progresif menggunakan irama music filem yang popular. Drama dan nyanyian dipersembahkan selepas makan malam dan ternyata para peserta mempunyai bakat semulajadi dalam seni drama dan nyanian progresif. Peserta juga disajikan dengan ayam bakar ‘barbeque’ dan tirai malam ditutup dengan tarian oleh peserta berlatarkan lagu-lagu filem.

Hari terakhir dimulakan dengan sesi oleh Sdr Bawani yang menekan Kempen Pendidikan Percuma dengan memberi analisa sosialis dan situasi yang berlaku di Malaysia. Kemudiannya, satu sesi bengkel dijalankan oleh setiap kumpulan mengikut cawangan untuk mencadangkan program tahunan berdasarkan kempen Pendidikan Percuma. Antara cadangan yang timbul ialah edaran risalah, promosi kempen di laman sosial dan web serta kelas bimbingan percuma untuk rakyat miskin. Sebelum beredar, satu evolusi keseluruhan kem telah diadakan dan rata-rata semua peserta berpuas hati dengan kem ini. Sebelum balik, satu lawatan ringkas ke memorial  kubur para pejuang kemerdekaan yang terletak di Nirvana Memorial, Semenyih. Para pejuang kiri telah diabadikan di memorial ini  untuk memperingati perjuangan tulen mereka menentang imperialis dan kaki bodek  penjajah. Lawatan ini untuk memberi satu tabik hormat kami kepada pejuang-pejuang tersebut.

Kem ini diharapkan untuk menjadi satu perjalanan dalam menyediakan satu masyarakat yang berani dan berjuang untuk kesaksamaan di bumi Malaysia. Gambar-gambar sekitar kem di http://picasaweb.google.com/sboyzss/KemAnakMudaSosialis2010Semenyih#


Hidup Rakyat

Salam Revolusi

Karthi
Pemuda Sosialis










Wednesday, February 3, 2010

Pemuda Sosialis Menuntut Pemansuhan Yuran Sekolah


Pemuda Sosialis telah mengadakan satu sidang akhbar pada hari ini (03/02/2010)  untuk menuntut pemansuhan yuran sekolah yang membebankan rakyat Malaysia. Satu kajian awal telah dilakukan dan diberikan kepada pihak media untuk membongkarkan kepincangan pihak berkuasa yang tidak mengambil berat beban rakyat negara ini dan melakukan pengurangan bantuan pendidikan untuk rakyat biasa.
Sidang ini diterajui oleh dua penyelaras kebangsaan untuk Pemuda Sosialis PSM iaitu Sdr Bawani dan Sdr Karthiges dan dihadiri bersama Sdr M.Tanapakiam (seorang ibu),  Sdr Song Yong (aktivis DEMA), Sdr T.Ramalingam (PSM Semenyih) dan Sdr Basir (PSM).
Berikut ialah kenyataan akhbar tersebut :


 
PEMUDA SOSIALIS,
PARTI SOSIALIS MALAYSIA(PSM)
 
KENYATAAN AKHBAR
3 FEBRUARI 2010



”NAK HANTAR SEKOLAH, TAK ADA DUIT
TAK HANTAR SEKOLAH, BOLEH DIPENJARA”



Kami Pemuda Sosialis PSM amat kesal dengan keadaan rakyat Malaysia yang terus ditekan dan dihimpit dengan bebanan yuran persekolahan yang kian meningkat. Kami telah mendapat banyak aduan dan keluhan dari pihak ibu bapa yang mendapati yuran dan kos persekolahan terlalu tinggi, membebankan dan tidak adil.

Tahun 2007, rakyat diputarbelitkan bahawa yuran persekolahan akan menjadi percuma tetapi dompet ibu bapa semakin ringan kerana ia adalah satu penipuan. Bermulanya sesi persekolahan 2010, dompet ibu bapa bertambah ringgan lagi dengan kos persekolahan yang terlalu tinggi.  

CONTOH YURAN( PERBANDINGAN ANTARA SEKOLAH
BANTUAN KERAJAAN (SK)  & BANTUAN MODAL (SJKT & SJKC )

YURAN ASAS

No
Perkara
SK
SJK (T)
SJK (C)
1
Kokurikulum
       RM   5.00
         RM   3.00
          RM   3.00
2
Kertas Ujian Dalaman
       RM 10.00
         RM   6.00
          RM   6.00
3
Sukan Tahunan Sekolah
       RM 10.00
         RM   6.00
          RM   6.00
4
Kegiatan Pendidikan Moral
       RM 10.00
         RM   6.00
          RM   6.00
5
MSSM ( Majlis Sukan Malaysia)
       RM   2.00
         RM   2.00
          RM   2.00
6
Insurans Takaful
       RM   1.50
         RM   1.50
          RM   1.50
JUMLAH
       RM 38.50
         RM 24.50
          RM 24.50


YURAN TAMBAHAN

NO
PERKARA
SK
SJK(T)
SJK(C)
1
Buku rampaian

        RM  12.00

2
PLBS

        RM    2.40

3
Buku Nilam

        RM    0.80

4
Kad Laporan

        RM    1.50

5
Lencana Sekolah

        RM    1.00

6
Buku Aktiviti (HANYA THN 4,5,6)
       RM 27.00
        RM  25.00
       RM 105.00
7
Test pad (HANYA THN 4,5.6)

        RM    4.00

8
Yuran PIBG (SATU KELUARGA)
       RM 40.00
        RM  10.00

9
Baju Sukan

        RM 25.00

10
Foto

        RM   8.00

11
Tanda Nama
       RM   3.50
        RM   4.00

12
Tali leher
       RM   9.50


13
Fail peribadi
       RM   7.00


14
Kad Segak
       RM   1.50


JUMLAH
       RM  88.50
        RM 93.70
       RM 105.00

Ø      Butiran di atas adalah hasil pemerhatian di beberapa sekolah di Perak & Kuala Lumpur.

Ø      Bayaran tidak semestinya sama dan ia bergantung kepada sekolah berkenaan.

Ø      Purata yuran yang dibayar oleh seorang pelajar adalah >RM120

YURAN  SEKOLAH BERASRAMA

NO
PERKARA
PENDAPATAN  KURANG RM 5,000
PENDAPATAN LEBIH RM 5,000
1
Wang  PIBG
   
             RM 192.00
        (BUMIPUTERA)
             RM  92.00
   (BKN BUMIPUTERA)
          RM  92.00
2
Wang SUWA
             RM   33.50
          RM   33.50
3
Bayaran Asrama (termasuk makanan)
             RM 240.00
          RM 640.00
 
Ø      RM 200 untuk pelajar Tingkatan Lima – Kelas Tambahan

Ø      RM  20  untuk pelajar lelaki – potong rambut

Selain yuran persekolahan kerajaan BN juga telah mengurangkan beberapa insentif untuk murid secara senyap-senyap.
TAHUN 2010 :

1.      SBT (Skim Baucer Tuisyen) telah dimansuhkan atas alasan kerajaan “tidak ada duit”. Skim ini adalah kelas tambahan selepas waktu persekolahan untuk murid-murid miskin. Murid akan dibekalkan dengan makanan dan guru yang mengajar akan diberi elaun. Pada prinsipnya, kami tidak setuju bahawa seorang pelajar harus pergi ke Tuisyen kerana kualiti pendidikan di sekolah sepatutnya memadai. Namun, tindakan kerajaan ini akan mendiskriminasi dan menafikan hak untuk kanak-kanak dari keluarga miskin bersaing dengan mereka yang mampu membayar dan sekaligus mengancam hak berpendidikan.

2.      Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang diberi untuk pelajar miskin juga telah dikurangkan bilangannya. Keluarga yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM400 atau pendapatan perkapita kurang daripada RM80 layak mendapat RMT. Setiap makanan RMT diperuntukkan RM1.80 sehari untuk murid di Semenanjung Malaysia dan RM2.05 untuk Sabah, Sarawak dan Labuan.  Contohnya, di sebuah sekolah di Sg.Siput bilangan murid yang layak menerima RMT pada tahun 2009 adalah seramai 43 orang tetapi bilangannya dikurangkan kepada 22 orang tahun 2010 walaupun murid yang tercicir layak menerima RMT.

3.      Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) telah dikurangkan tahun ini kerana tiada peruntukkan. Syarat kelayakan untuk menerima  KWAPM adalah gaji ibu bapa mesti kurang daripada RM530 atau perkapita RM107. Ia berlainan di Sarawak dimana gaji mesti kurang daripada RM585 atau perkapita RM117 dan Sabah serta Labuan adalah kurang daripada RM685 atau perkapita RM137. Ibu bapa menaruh harapan terhadap bantuan ini kerana yuran anak-anak biasanya akan dipotong melalui wang KWAPM dan bakinya akan dipulangkan kepada ibu bapa. Maka pembayaran yuran tidak akan menjadi masalah kepada ibu bapa yang miskin. Malangnya kini, bantuan berkenaan dikurangkan tahun ini. Ada guru yang merunggut kerana kerajaan meminta sedekah daripada guru untuk menyumbangkan RM1 setiap bulan untuk mengisi tabung KWAPM. Mampukah sumbangan ini dapat memenuhi kehendak ibu bapa yang miskin?

4.      Kadar yuran yang dikenakan rata-ratanya seorang murid perlu membayar sebanyak RM100 – RM150 yang kian naik saban tahun. Apakah langkah kerajaan dalam menangani masalah ini. Wajarkah ibu bapa yang berpendapatan di bawah RM 500 dan mempunyai ramai tanggungan dipersalahkan? Sekiranya, kerajaan mengimplimentasikan akta gaji minima dan mengawal harga barang secara adil, nescaya keadaan sebegini tidak berulang. Namun, senario ini sememangnya diwujudkan oleh kerajaan untuk keuntungan semata-mata.

Namun, inilah kata-kata manis yang dikeluarkan oleh  Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom yang menyatakan bahawa bayaran tersebut tidak akan membebankan ibu bapa dan para pelajar kerana bayaran secara ansuran boleh dibuat diharap dapat meringankan beban ibu bapa terutama golongan berpendapatan rendah serta mereka yang mempunyai ramai anak sedang bersekolah. ''Cuma saya harap, ibu bapa tidak terlalu berkira mengenai persekolahan anak-anak”.
Ø      Realitinya ibu bapa dipaksa untuk membuat bayaran dan sekiranya gagal berbuat demikian, anak-anak tidak diberi buku. Kebanyakkan ibu bapa yang berada dalam tahap miskin dan miskin tegar mengambil keputusan untuk tidak menghantar anak ke sekolah disebabkan desakan di sekolah. Dalam konteks ini, ibu tunggal menjadi mangsa kerakusan BN kerana tidak berdaya untuk menanggung kos pendidikan yang semakin tinggi.
Kerajaan juga  mula mengugut ibu bapa dengan undang-undang baru iaitu:
Ø      Kini para ibubapa miskin seolah-olah dalam penjara apabila Kerajaan mahu mewajibkan pendidikan sekolah rendah selama 6 tahun. Undang-undang ini dirangka berdasarkan perangkaan Kementerian bahawa terdapat sekurang-kurangnya tiga peratus setiap tahun kanak-kanak yang tidak didaftarkan di sekolah terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman. Terdapat juga sebilangan murid yang berhenti atau diberhentikan oleh penjaga mereka sebelum menamatkan persekolah rendah.
Ø      Menurut Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad matlamat utama undang-undang itu adalah untuk memberi peluang pendidikan kepada semua kanak-kanak di negara ini dan memastikan mereka berpelajaran. Menurutnya lagi apabila undang-undang ini dikuatkuasakan, ibu bapa yang gagal mendaftar anak mereka di sekolah tanpa sebab yang munasabah akan didakwa di mahkamah.
Ø      Tindakan Kerajaan BN umpama samseng yang meletakkan dua bilah pisau di dua belah pipi ibubapa.  Nak hantar sekolah, tak ada duit. Tak hantar sekolah, boleh dipenjara.
Ø      Sistem Pendidikan, kanak-kanak sekolah dan ibubapa menjadi mangsa apabila Ahli Politik dan Menteri Pendidikan yang sentiasa bertukar polisi seperti bertukar pakaian. Negara kita mahu mewajibkan pendidikan tetapi ibubapa tidak mampu menyara  kos pendidikan.
Ø      Di negara pemerintahan Sosialis seperti Cuba dan Venezuela, Perlembagaan mereka memastikan pendidikan itu adalah satu hak dan adalah percuma. Percuma sehingga ke tahap Universiti. Itu adalah sebab negara itu boleh mencapai tahap pendidikan tinggi dan tahap celik huruf sebanyak 100%.
Ø      Di negara kita, Kerajaan antaranya melaksanakan program seperti projek SBT (Sekolah Berprestasi Tinggi) yang melaburkan RM 20 juta untuk memperbaiki kualiti pendidikan dan memberi autonomi kepada pengurusan sekolah supaya dapat menghasilkan pelajar cemerlang. Guru pula berlumba-lumba untuk merealisasikan matlamat kerana kerajaan telah berjanji untuk memberi ganjaran dalam bentuk wang dan kenaikan gaji.
Ø      Pada September 2009 Kerajaan Malaysia dengan rasminya mengumumkan telah membeli dua kapal selam KD TAR berjumlah RM3.4 bilion. Darimana dapatnya duit 3.4 bilion ini?
Ø      Kerajaan juga telah membazir berbilion-bilion ringgit untuk projek- projek mega seperti Litar F1 Sepang, Mini Putrajaya, Kangar, Perlis, Menara Taming Sari, Melaka, dan banyak lagi projek. Bukan itu sahaja, Putrajaya yang sudah cantik, kerajaan mampu mencantikan semula dengan lampu-lampu yang mahal dan bangunan-bangunan baru. Bagaimana Kerajaan ada duit untuk perkara ini sedangkan pendidikan adalah satu keperluan asas. Mengapa pendidikan dan kebajikan murid yang dikorbankan.
Ø      Inilah bezakan sistem pendidikan kita dengan negara lain. Nampak canggih, nampak bergaya tetapi masih ada keciciran kanak-kanak, masih ada sekolah yang serba kekurangan, masih ada mereka yang tak mampu membiayai pendidikan anak-anak. Indah kata daripada rupa
PEMUDA SOSIALIS, PSM berpendirian bahawa:
1.      Pendidikan adalah sesuatu yang perlu diberi secara percuma dan bukannya dibayar dengan wang semata-mata.
2.      Yuran perlu dimansuhkan serta – merta.
3.      Selaraskan semua sekolah supaya dijadikan sekolah bantuan penuh kerajaan.
4.      Kerajaan sepatutnya menggunakan keuntungan yang diperolehi dari Petronas atau hasil kutipan cukai pendapatann dari korporat dan kapitalis gergasi untuk disalurkan dalam pendidikan. Tapi semakin hari, pendidikan menjadi semata-mata satu lagi perniagaan untuk membuat keuntungan.

“ YURAN NAIK, SEMUA NAIK….
”YANG TURUN HANYA HUJAN DAN NILAI PENDIDIKAN”