-

-

Thursday, March 8, 2012

Mahkamah Persekutuan akhirnya benarkan permohonan “leave” Dr. Jeyakumar

Biasanya permohonan “leave” (kebenaran) diberikan dalam masa 5 minit tetapi dalam kes yang difail oleh Dr. Jeyakumar yang meminta mahkamah meneliti peruntukan pembangunan yang diberikan kepada Ahli parlimen, ia telah melalui satu proses yang begitu lama dan setiap ketika, pihak Peguam Negara mewakili Kerajaan Malaysia cuba menghalang.

Selepas lebih 16 bulan memfailkan kes di Mahkamah Tinggi menuntut semakan kehakiman untuk peruntukan khas Parlimen akhirnya Dr Kumar Ahli Parlimen Sg Siput berjaya mendapat kebenaran untuk melanjutkan kes. Semakan kehakiman dituntut terhadap keputusan Pengarah Pejabat Kemajuan UPEN Perak menolak permohonan Dr Kumar mendapatkan dana khas parlimen Sg Siput.

Lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tan Sri Arifin Zakaria membuat keputusan ini sebulat suara. Dr Kumar diwakili oleh barisan peguam yang diketuai oleh Datuk S.Ambiga manakala Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan mewakili Peguam Negara.

Kes yang bermula semalam ini dimulakan oleh Dato Ambiga yang mencabar Peguam Negara yang meminta membatalkan semakan kehakiman yang dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi . Permintaan pembatalan Peguam Negara ini telah dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan pada 10hb Oktober tahun lalu. Datuk Ambiga mencabar permintaan Peguam Negara yang teruja-uja untuk membatalkan ‘leave’ yang diperolehi tanpa membenarkan kes ini didengar. Sepatutnya isu ‘leave’ ini diselesaikan dalam masa lima minit sahaja seperti kebiasaan tetapi diheret sehingga hampir satu tahun setengah dan ini menimbulkan keraguan munasabah bahawa wujud isu pengurusan yang perlu diberitahu kepada pihak plaintif.

Wakil Peguam Negara memberitahu bahawa permohonan Dr Kumar adalah akademik kerana wang peruntukan untuk tahun yang 2010 yang diminta sudah digunakan untuk pembagunan kawasan tersebut dan juga isu yang dibangkitkan sudahpun dijawab di Parlimen. Selain itu diberitahu bahawa pemberian dana ini adalah kuasa keistimewaan (privilege) pihak kerajaan. Datuk Ambiga pula membalas menyatakan kes ini masih hidup dan relewan. Ia melibatkan jutaan wang rakyat dan satu isu kepentingan awam yang tidak boleh diabaikan begitu sahaja.
Selama ini, peruntukan untuk kawasan Parlimen hanya diberikan kepada Wakil Rakyat BN sahaja dan MP pembangkang tidak pernah diberikan dana ini walaupun peruntukan perundangan menyatakan sebaliknya.

Dr Kumar percaya rakyat harus diberitahu bagaimana peruntukan yang dikhaskan untuk mereka, dibelanjakan. Selama ini, transparensi ini tidak pernah wujud dalam pentadbiran Kerajaan BN dan beliau tidak mahu situasi ini berlanjutan. Persoalan beliau ialah, sekiranya permohonan beliau untuk bantuan kepada rumah anak yatim, rumah orang tua, sekolah dan persatuan orang kurang upaya ditolak, maka ke manakah perginya wang peruntukan jutaan ringgit ini. Atau dalam kata lain, siapa yang makan wang ini? Mengapa Jabatan Perdana Menteri tidak mahu memberi butir-butir bagaimana wang ini dihabiskan?

Sudah tiba masanya rakyat menjadi pengadil untuk menentukan bagaimana wang rakyat harus digunakan dan penyertaan rakyat dalam penentuan polisi dan proses pengurusan harus dipraktikkan selaras dengan slogan Ketuanan Rakyat.

Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini memang disambut dengan rasa gembira oleh rakyat Sungai Siput dan pencinta demokrasi. Namun ia hanyalah proses prosedul yang dimenangi hari ini dan isu pokok masih belum dibincangkan. Mungkin ini adalah apa yang cuba dibuat oleh Peguam Negara iaitu cuba memastikan kes ini tidak didengar langgung melalui hujah-hujah teknikal mereka.Diharap dengan laluan hari ini, kebenaran dapat dihebohkan kepada rakyat kerana isu yang dibincangkan adalah wang rakyat. Semoga rakyat menjadi Tuan bagaimana wang mereka dibelanjakan.


Hidup Rakyat
Kartimn

No comments:

Post a Comment