KENYATAAN AKHBAR
KEMBALIKAN HAK BERSUARA & DEMOKRASI BERHIMPUN MAHASISWA!!!
Pemuda Sosialis, Parti Sosialis Malaysia berasa amat kecewa dengan keputusan jawatankuasa tatatertib Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terharap aktivis pelajar Adam Adli Abdul Halim. Beliau telah digantung pengajian selama tiga semester atas tuduhan kononnya mencemarkan reputasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Penggantungan pelajar tahun ketiga, Jurusan Mengajar Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) peringkat sarjana muda itu berkuatkuasa serta merta.
Adam Adli, 22 tahun ditahan dan dihadapkan ke jawatankuasa tatatertib universiti berkenaan dengan insiden tidak sampai 5 minit menurunkan dan menaikkan semula bendera Najib di hadapan PWTC. Isu ini tidak sama sekali disangka menjadi isu yang begitu hangat di kalangan pemimpin UMNO sehingga tindakan seperti ini diambil.
Ini menunjukkan bahawa kerajaan yang sedia ada tidak begitu profesional dan sistematik dalam menangani isu-isu seperti ini. Ini kerana isu-isu yang lebih kronik yang menjejaskan hak asasi manusia sudah dan sedang berlaku tetapi tidak diberi sebarang perhatian berbanding dengan tindakan mahasiswa yang begitu kecil.
Tindakan mahasiswa ini adalah satu perkara semata- mata untuk menyuarakan hak mereka sebagai mahasiswa dan bukannya berniat jahat.
Pemuda Sosialis tidak faham bagaimana isu sekecil ini dijadikan isu yang begitu hangat seolah-olah mengancam ketenteraman negara dan nama baik UPSI. Mereka bukannya melibatkan diri dalam kegiatan jenayah atau terbabit dengan rasuah dan sebagainya. Adakah salah jika mahasiswa menyuarakan hak mereka secara aman?
Kami Pemuda Sosialis berharap agar tindakan terhadap Adam Adli ditarik balik dengan segera tanpa sebarang syarat. Pihak pemerintah harus peka bahawa mahasiswa adalah tulang belakang negara dan bakal pemimpin masa depan.
Dikeluarkan oleh,
M.Ravindran
Pemuda Sosialis PSM
No comments:
Post a Comment