Lim Hong Siang | Aug 10, 2011 05:27:41 pm Di luar dugaan, rakyat jelata tanpa rasa takut tampil untuk menyatakan bantahan mereka terhadap kerajaan, sepanjang tempoh penahanan aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) - sehingga mereka dibebaskan. Sokongan yang melambak ini amat terharu buat Choo Chon Kai, antara enam orang tahanan di bawah Ordinan Darurat (EO6), sehingga menganggap penahanan terhadap dirinya adalah "berbaloi"! Beliau yang diputuskan dari semua saluran maklumat sungguhpun resah dengan apa yang berlaku pada 9 Julai, namun tetap enggan bertanya pegawai polis ataupun SB (anggota cawangan khas) mengenai perhimpunan tersebut. "Kerana saya sedar, mereka tidak akan memberitahu apa yang berlaku sebenarnya. Ada yang berkata kepada saya, hanya 20 orang ditangkap, dan Mat Sabu (Timbalan Presiden PAS) terjatuh dari motorsikal," katanya. Sehinggalah Setiausaha Agung PSM, Arutchelvan dibenarkan untuk mengunjunginya pada 15 Julai, membawakannya khabar yang cukup memberangsangkan Chon Kai, meskipun masih berada dalam tahanan. 50 ribu peserta menembusi sekatan polis dalam bandar, malah Marina Mahathir, anak mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad juga turun ke jalan raya. "Saya teruja dengan khabar itu. Dengan tiba-tiba, bersemangat semula..." katanya ketika diminta untuk menyifatkan perasaannya pada ketika itu, dalam satu wawancara bersama MerdekaReview, pada 7 Ogos 2011. Petugas bank sanggup menunggu Bagaimanapun, kejayaan perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011 tidak membebaskan EO6 serta-merta, malah ada suara yang mempertikaikan Pengerusi BERSIH 2.0 Ambiga Sreenevasan kerana tidak mensyaratkan agar EO6 dibebaskan sebelum bersetuju untuk berhimpun di stadium. Ambiga (gambar bawah) menghadiri candle light vigil menuntut pembebasan EO6 hampir setiap malam, malah mendakwa BERSIH 2.0 hanya akan menyambut kejayaannya setelah EO6 dibebaskan. ![]() "Itu tidak mustahak," jawab Chon Kai secara terus-terang, malah beberapa kali menegaskan, "Yang penting, perhimpunan BERSIH 2.0 berjaya diadakan!" Meskipun sedikit "ralat" kerana gagal turut serta dalam perhimpunan BERSIH 2.0, namun segala-galanya terubat apabila Chon Kai diceritakan oleh rakan seperjuangannya, bagaimana masyarakat umum menghulurkan tangan dan menyuarakan sokongan mereka sepanjang penahanan EO6. "Saya terperanjat dengan apa yang telah dilakukan dalam tempoh sebulan itu. Bayangkan, lebih 600 laporan polis dibuat untuk membantah penahanan EO6 dalam masa satu hari. Sebelum ini ada pihak juga membuat laporan polis untuk membantah perhimpunan BERSIH, jadi mereka sedar betapa susahnya nak mengerah tenaga untuk melakukan kerja-kerja itu. Namun, parti yang kecil seperti kami mampu melakukannya. Pengadu bertindak atas inisiatif sendiri, bukan kerana menerima wang..." sindirnya secara berlapik. ![]() "Mereka sengaja melengah-lengahkan sehingga kira-kira jam 4.30 petang. Maknanya, seandainya wang gagal dikumpulkan sebelum bank tutup pada jam 5 petang, maka 24 orang tahanan tersebut perlu meringkuk satu malam lagi di lokap. Namun, kami diberitahu petugas bank, 'Jangan risau, kami sanggup menunggu, kerana kami sokong kamu semua!'" ![]() Ini belum termasuk kira-kira 5,000 orang doktor swasta di seluruh negara yang tampil menuntut pembebasan ahli parlimen Sungai Siput Jeyakumar Deveraj; Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) juga membuat kenyataan... semua ini berlaku buat kali pertama, kata Chon Kai. "Candle light vigil hampir setiap malam, kenyataan bersama, petisyen dan sebagainya... Tekanan yang begitu besar ke atas kerajaan. Malah, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin juga melalui twitternya membantah penahanan Jeyakumar Deveraj!" Mengapa tidak dibebaskan serta-merta selepas 709? Jika itulah tekanannya, mengapa EO6 tidak dibebaskan serta-merta selepas 709? ![]() Chon Kai meramalkan arahan penangkapan terhadap aktivis PSM itu datang dari pimpinan atasan. Dua bas, dengan satu dari Utara dan satu dari Selatan, ditahan dengan alasan yang sama, iaitu disyaki memiliki senjata. Padahal, mereka telah menerima satu sms, mendakwa PSM akan mencetuskan huru-hara, malah maklumat nombor plat bas mereka turut dinyatakan dalam sms tersebut. ![]() Beliau selanjutnya berkata, siasatan dimulakan dengan Seksyen 122 Kanun Keseksaan, iaitu melakukan kesalahan jenayah memerangi Yang di-Pertuan Agong. Mengikut logik, polis seharusnya menggeledah rumah dan pejabat tahanan, kerana ia tuduhan yang serius, katanya. "Namun ia tidak berlaku dalam tujuh hari pertama selepas kami ditahan. Ini bermakna polis sendiri tidak percaya tuduhan sebegitu!" katanya sambil ketawa. Beliau mengulas kemudian, bahawa tuduhan yang berat itu dikenakan untuk menakut-nakutkan orang ramai, supaya tidak berani tampil menyokong tahanan. Chon Kai meneruskan, "Tapi kesemua ini tidak berlaku! Rakyat tetap menyertai candle light vigil, malah perhimpunan BERSIH 2.0 diadakan dengan kehadiran yang begitu memberangsangkan!" Satu ujian terhadap anutan politiknya Chon Kai menjangkakan dirinya bersama rakan seperjuangannya yang lain akan ditahan lebih lama. "Mereka menyemak rekod kami ke luar negeri. Asalkan kami pernah melawat selatan Thai, kami akan dikaitkan dengan Parti Komunis Malaya (PKM). Untuk regim ini, mereka sanggup mencari pelbagai alasan untuk menghalalkan penahanan ke atas kami. Masakan T-shirt pun boleh dijadikan senjata, apa lagi yang tidak boleh?" ![]() *Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia. |
Wednesday, August 24, 2011
Terharu melihat sokongan ramai: Chon Kai rasa penahanannya "berbaloi"
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment