Laungan di Kongres Pemuda Sosialis Pertama 2010
Pemuda Sosialis PSM telah Berjaya mengadakan Kongres Nasional mereka buat kali pertama pada 30/5/2010 yang lalu. Ini merupakan kongres pertama anak muda berhaluan kiri di bumi Malaysia untuk satu jangka masa yang begitu lama.
Kongres diadakan di dewan komuniti, Kota Damansara dari pukul 9.00 pagi hingga 5 petang. Seramai 31 orang delegasi bersama hampir 15 pemerhati Pemuda Sosialis dari semua cawangan Parti Sosialis Malaysia mengambil bahagian. Pemuda Sosialis dari Sg Siput, Kajang, Semenyih, Ampang, Subang, Semenyih, Klang, dan Anak Muda Alaogal serta CDC telah duduk dan membincangkan hala tuju dan intipati khusus pergerakan Pemuda Sosialis di Malaysia.
Kongres dimulakan dengan nyanyian lagu ‘Internationale’ dan seterusnya ucapan khas daripada Pengerusi PSM, Sdr Dr Nasir. Ini diikuti pula dengan ucapan dan laporan setiap kumpulan Pemuda Sosialis. Sdr Santhana pula kemudiannya membincangkan Jadual Kelas yang menerangkan siapakah musuh dan lawan kita dalam perjuangan ini.
Perdebatan usul menyusul kemudiannya. Sesi ini dikendalikan oleh Sdr Bawani di mana beberapa perdebatan yang hangat telah didaksikan oleh para peserta. Seperti biasa delegasi dari Alaigal memulakan debat dengan usul untuk mengubah had usia Pemuda Sosialis daripada 30 tahun kepada 35 tahun. Namun, rata-rata para delegasi yang lain masih mahu had usia tersebut dikekalkan dan had permulaan pula disetujui untuk dikurangkan kepada 13 tahun. Kekerapan Mesyuarat Nasional juga dicadangkan untuk dikurangkan tetapi dikekalkan untuk setiap bulan. Antara perkara lain yang dibincangkan ialah kerja akar umbi perlu diberi perhatian yang lebih untuk membina anak muda kita dan di samping itu, kordinasi pusat juga perlu untuk mengerakkan kempen nasional iaitu Kempen Pendidikan Percuma.
Selepas makan tengah hari, pilihanraya pusat Pemuda Sosialis telah berjalan dan dikendalikan oleh Anak Muda dari DEMA. Jawatankuasa pusat telah dipilih oleh delegasi untuk tempoh dua tahun akan datang. Selain jawatan Pengerusi yang menang tanpa bertanding, semua jawatan lain telah dipertandingkan. Seterusnya, perancangan program untuk satu tahun akan datang telah dibincangkan dan tiga program nasional telah dipersetujui iaitu Malam Revolusi. Kem Anak Muda Sosialis dan Konres Pemuda Sosialis PSm yang akan dikordinasi sepenuhnya oleh kita. Program untuk kumpulan masing-masing dan program bersama PSM akan diputuskan oleh kumpulan masing-masing. Mesyuarat Pusat Pemuda Sosialis akan diadakan untuk setiap bulan.
Seterusnya, satu usul telah dipersetujui untuk dibawa ke Kongres PSM pada 4-6 Jun ini. Usul tersebut mengesa semua cawangan PSM wajib menubuhkan Pemuda Sosialis untuk cawangan masing-masing. Perwakilan Negeri digalakkan untuk berbuat demikian. Usul ini akan didebatkan dan dibawa untuk diluluskan di kongres tersebut itu nanti.
Seterusnya, beberapa resolusi telah dipersetujui untuk dilaungkan kepada pihak berkuasa Malaysia. Antaranya:
1. Menentang pengimplimentasian cukai GST
2. Menyediakan satu sistem perumahan yang menyeluruh dan murah untuk rakyat Malaysia Menentang Perumahan Flat
3. Hentikan penswastaan perkhidmatan awam.
4. Memberi pendidikan percuma kepada semua pelajar dari sekolah rendah hingga ke universiti
5. Menuntut kerajaan mengimplementasikan akta gaji minima
6. Kerajaan harus sediakan Pusat sukan komuniti di setiap taman perumahan
7. Subsidi dikekalkan
8. Membantah penjanaan tenaga nuklear
9. Menentang penyalahgunaan kuasa polis
10. Mansuhkan pusat tuisyen yang bermotifkan keuntungan
11. Pilihanraya tempatan harus diimplementasikan semula
12. Malaysia membenarkan bekas pejuang kemerdekaan dari Parti Komunis Malaysia termasuk Chin Peng untuk masuk dan menetap di Malaysia
13. Hapuskan semua akta-akta zalim – seperti AUKU,ISA, OSA dan sebagainya
14. Kerajaan harus menjadi pengganti along dalam memberi pinjaman yang murah dan mudah kepada kaum pekerja.
15. Menentang sebarang polisi imprelisme – tidak boleh menggunakan kuasa ke atas negara lain untuk agenda kapitalis.
Kongres disudahi dengan ucapan daripada setiap kumpulan Pemuda Sosialis dan juga daripada pemerhati dari Sg Petani, Sdr Karthik dan Sdr Velmurugan. Sdr Selvam dari PSM Subang yang juga merupakan antara ahli pengasas parti PSM telah menyarankan Pemuda Sosialis untuk berdikari dan menentang sikap liberal dalam diri masing-masing. Sdr Letchumi yang merupakan ahli pusat PSM memberitahu bahawa kekuatan anak muda ialah besar dan semua anak muda harus bersatu menentang ketidakadilan yang wujud.
Ucapan penutup pula diberikan oleh Setiausaha Agung PSM iaitu Sdr Arul yang memberi tahniah kepada Pemuda Sosialis yang telah berjaya mengadakan kongres nasional pertama mereka. Selain menekan kepentingan anak muda, beliau juga memberitahu pemuda perlu mempunyai identiti yang tersendiri dan menyebarkan ideologi sosialis melalui kerja akar umbi mereka. Beliau memberi contoh bagaimana umur tidak harus dijadikan halangan untuk perjuangan dan bagaimana Chin Peng telah mula memperjuangkan kemerdekaan pada usia 16 tahun dan Veerasenan pula telah dibunuh oleh penjajah British pada usia 22 tahun kerana berjaya memobilisasi kaum pekerja untuk menuntut kemerdekaan.
Saudari Bawani akhirnya mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah bekerja untuk menjayakan kongres Pemuda Sosialis kali ini dan berharap ini merupakan satu langkah awal untuk membawa obor perjuangan kelas oleh anak muda di bumi Malaysia.
oleh:
Karti
Pemuda Sosialis