-

-

Wednesday, March 18, 2009

Kem Anak Muda Sosialis 2009 di Sg Siput





Kem anak muda PSM tahun ini diadakan di Kem Cinta Alam, Kg Keramat, Sg Siput pada 14-16/03/2009 yang lalu. Pemuda Sosialis dengan kerjasama komrad PSM yang lain telah menganjurkan kem sosialis ini dengan aspirasi membenih semangat sama rata dan hak manusia yang harus dipelihara daripada dieksploitasi oleh kaum penindas.


Kem kita kali ini sangat unik kerana buat kali pertama tiga konsep diperkenalkan iaitu pada hari pertama sesi lebih menumpu kepada pratikaliti ( observasi dan pendengaran) dan diikuti pula dengan sesi pada hari kedua yang lebih menumpu kepad teori dan hari terakhir ditumpukan kepada proses penglibatan anak muda dalam pembentukan Pemuda Sosialis secara keseluruhan. Kumpulan anak muda yang hadir untuk kem ini juga merupakan satu sejarah apabila 8 kumpulan dari hampir semua cawangan PSM di seluruh Malaysia hadir. Mereka terdiri daripada Pemuda Sosialis Sg Siput, Pemuda Alaigal, Pemuda Sosialis Buntong, Pemuda Sosialis Kajang (Ampang dan Kajang), Pemuda Sosialis Subang , Anak Muda CDC (Bangi, Port Klang, Kg Berembang dan JKMI) serta beberapa penyokong dari luar


Anak muda dari Selangor dan Ipoh mencecah bumi Sg Siput lebih kurang pukul 10.00 pagi dan selepas sedikit taklimat daripada pemuda tuan rumah, ‘kontigen sosialis’ yang merangkumi lebih 100 ini menuju ke kawasan Peneroka Bandar Belakang Shin Chung, Sg Siput. Kawasan ini dipilih sebagai tempat observasi kepada anak muda kita agar mereka melihat sendiri bagaimana penduduk Malaysia tanpa mengira kaum ditindas kerana tahap sosio-ekonomi mereka . Setiap anak muda yang melihat situasi serba kekurangan penduduk di sana melahirkan perasaan sangat marah terhadap pihak kerajaan yang tidak menawarkan tempat tinggal yang sesuai untuk mereka.


Selepas sejam berada di sana, kami menuju ke kuil Ladang Kamiri di mana Jawatankuasa Jerit Ladang Kamiri menjadi tuan rumah untuk kami,dimana kami menjamu makan tengah hari. Kami sampai di Kem Cinta Alam pada pukul lebih kurang 1.30 petang dan pendaftaran dan grouping dilakukan oleh Anak Muda Port Klang dan Alaigal masing-masing. Dewan pula dihiasi dengan banner dari Pemuda Sosialis Semenyih, Sg Siput dan Buntong. Sedikit huraian dan persoalan mengenai lawatan ke tempat masyarakat tertindas dilakukan oleh Komrad Babu. Selepas minum petang, Komrad Karti memberi sesi mengenai Sejarah Masyarakat Tertindas. Antara penerangan komrad Karti ialah bagaimana masyarakat di estet yang dihuni majoritinya masyarakat India dan perkampungan peneroka Melayu mengalami penindasan yang sama dan menegaskan penindasan tidak dilakukan berdasarkan perkauman tetapi melalui pertembungan kelas (majikan –pekerja).


Para peserta menjadi teruja apabila diumumkan bahawa pertandingan futsal akan diadakan berdasarkan kumpulan yang diagihkan dan rami anak muda mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut. Pertandingan akhir solidariti antara para fasi dengan anak muda peserta disudahi sehingga ke tendangan penalti dimana kumpulan fasi kalah selepas Komrad Sevan (penyokong Liverpool) gagal menyudahkan tendangan penalti terakhir.


Pada waktu malam pula Komrad Sevan pula memberikan satu sesi pengenalan mengenai anak muda masa kini dengan perbandingan para pejuang kebebasan rakyat seperti Bhagat Singh, Che Guevara, Ching Peng dan sebagainya. Ini diikuti pula dengan tayangan filem perjuangan berjudul ‘Rang De Basanti’. Gambar ini memaparkan bagaimana anak muda masa kini yang dipenuhi kegeraman dan kemarahan yang mereka luahkan melalui kemabukan dan kegembiraan. Filem ini turut memaparkan bagaimana sejarah perjuangan wira kemerdekaan India, Bhagat Singh dan rakan-rakannya telah menjadi idola dan pedoman sekumpulan anak muda untuk menentang penindasan yang berlaku di hadapan mata mereka. Kami juga dihidangi dengan makanan ringan yang dibawa oleh Pemuda Sosialis Buntong. Komrad Arul, Setiausah Agung PSM pula tiba ke kem pada tengah malam untuk memberi sokongan solidariti kepada kami.


Keesokkan harinya, anak muda kita dibangkit seawal pukul 6.00 pagi untuk senaman yang diketuai oleh Komrad Rubben dari PS Sg Siput. Selepas mandi dan sarapan, sesi hari kedua dimulakan oleh Komrad Parames .E dari CDC dan beliau menerangkan konsep ‘Historikal Materialisma’ kepada anak muda kita. Cara komrad ini yang cuba membawa mesej pertembungan kelas amat dikagumi dan beliau telah menyuruh setiap kumpulan melakonkan watak peralihan zaman dari primitif hinggalah ke kapitalisma dan sosialisma.


Komrad Bawani pula menerangkan Sejarah Malaysia yang yang tidak pernah diajar di sekolah. Beliau telah menghuraikan bahawa sejarah ialah tulisan pihak yang menang dan memerintah. Jesteru, anak muda harus mengkaji setiap fakta dan kejadian yang berlaku sebelum mempercayainya. Antara idea yang diberikan ialah kepentingan pergerakan kiri di Malaysia yang membawa kepada kemerdekaan tanahair serta bagaimana penjajah British lebih menyukai elit pemerintahan Barisan Nasional daripada perjuangan persenjataan oleh Parti Komunis Malaya.


Selepas makan tengahari, sesi dimulakan dengan permainan GD (group dynamic) dan diikuti pula dengan sesi Anak Muda dan Kapitalisma oleh Komrad Letchumi. Suadari Letchumi telah menerangkan konsep kapitalisma dan bagaimana kelas ini wujud dan mengeksploitasi masyarakat. Selepas itu, komrad telah memberi satu situasi kepada setiap kumpulan dan mereka disuruh untuk melakonkan situasi tersebut. Beliau juga memberi satu bengkel ringkas mengenai dunia yang dibahagi secara tidak adil . Anak muda kita rata-rata telah memahami bagaimana sumber dunia harus dibahagikan sam rata kepada semua penduduk dan bukannya dibolot oleh segelintir masyarakat.

Hujan pada waktu petangnya pula telah merosakkan hasrat penganjur untuk meneruskan permainan futsal dan para peserta disuruh bersiap sedia untuk persembahan kebudayaan yang akan dijalankan pada waktu malam. Sesi selepas makan malam dimulakan oleh Komrad Rani, di mana tiba-tiba beliau menyuruh setiap peserta menlukis satu garis lengkung dari satu hujung ke hujung lain. Komrad Rani berkata garis ini ialah kehidupan anda dan menyuruh kami untuk mengimbas kembali setiap detik yang sangat diingati dan diingat penting. Kemudian, kami disuruh menggariskan apakah yang mahu anda capai untuk jangka masa 15 tahun akan datang. Ramai antara kami terpinggung apabila diarahkan untuk tulis secara jujur. Kemudiannya, surat lukisan itu dilekatkan di penjuru bangunan tersebut. Semua peserta dijemput untuk melihat coretan kami. Ada peserta yang menyatakan akan berkahwin dan mempunyai lima orang anak manakala ada pula yang mahu Berjaya dalam pendidikan dan mendapat jawatan tinggi. Komrad Rani menegaskan tujuan sesi ialah untuk memberi fahaman bahawa kita harus meletakan keutamaan (priority) untuk setiap kejadian dalam tindakan kita termasuk berkahwin pada usia yang matang dan sebagainya.

Malam kebudayaan pula dihiasi dengan persembahan setaiap kumpulan dengan drama, nyanyian, tarian dan persembahan nyanyian rap daripada Ampang Socialist Arts Club (ASAC). Tarian floor pada penghujung malam kebudayaan jelas hebat dengan semua peserta termasuk fasilator menari ‘membuta tuli’.


Hari ketiga dimulakan dengan sesi bertajuk ‘Diskriminasi Kaum’ di mana komrad Babu daripada Pemuda Alaigal menjelaskan penindasan yang berlaku di sekeliling kita bukan disebabkan perbezaan kaum tetapi kelas. Komrad telah menghuraikan bahawa semua manusia adalah sama dan perbezaan nyata antara kita ialah antara pekerja dan majikan. Kemudiannya, sesi disambung oleh Komrad Sivaranjini daripada CDC yang membincangkan perbezaan antara negara kapitalis dan sosialis. Komrad dengan jelas menghuraikan situais ini dengan membezakan dua dunia yang mana satu dipenuhi dengan penindasan pekerja dan diskriminasi kaum serta gender. Manakala dunia yang satu lagi mementingkan hak manusia (baca = pekerja).


Komrad Nagen daripada PSM Sg Siput pula memberi satu sesi pengenalan mengenai Parti Sosialis Malaysia dan Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT). Komrad telah menerangkan bagaimana gerakan kiri di Malaysia dihancurkan oleh British dan Barisan Nasional serta menegaskan bahawa Parti Sosialis Malaysia merupakan parti kiri terakhir wujud di Malaysia. JERIT pula merupakan jaringan untuk memobilisasi rakyat menentang penindasan yang wujud.


Sesi terakhir yang dianggap penting ialah peranan anak muda dalam menentang penindasan yang berlaku sekeliling kita. Komrad Karti cuba membawa mesej melalui satu aksi yang perlu dilakukan dan idea yang wujud ialah kempen pendidikan percuma dan setiap kumpulan anak muda disuruh berbincang akan tindakan yang mampu dilakukan. Antara idea yang wujud ialah memberi risalah, kempen tandatangan, mesyuarat nasional untuk menyelaras kempen dan sebagainya. Penganjur mengambil keputusan untuk memberi peluang kepada anak muda masing-masing membincangkan isu ini dengan lebih jelas.


Akhirnya, evolusi dibuat oleh Komrad Hussein daripada Pemuda Alaigal dan komrad membuat kesimpulan tentang program keseluruhan kem kali ini. Ini diikuti pula oleh sesi ucapan daripada peserta dan fasilator. Komrad Rani memuji kem sosialis ini dan mahu setiap peserta membawa apa yang diajari ke kumpulan masing-masing. Kem disudahi dengan sesi pergambaran dan anak muda mula merasi beban berpisah antara satu sama lain. Perasaan ini sendiri sudah cukup untuk kami merasakan kem ini telah sedikit sebanyak mengeratkan silaturahim antara kumpulan anak muda PSM dari kawasan berlainan.


Pada ketika ada bisikan curang menyatakan mengapa kita perlu menganjurkan kem sosialis nasional, kami di Pemuda Sosialis berpendirian hubungan nasional dan tempatan adalah satu hubungan simbiosis dan kita tidak perlu menjadi Komrad Lenin untuk menyatakan bahawa penyatuan satu kumpulan sedar adalah amat penting dalam menyiapkan diri melawan musuh nyata.

Anak muda PSM sudah memulakan usaha membaja benih-benih yang bertaburan yang pasti menjadi tunjang perjuangan sosialis. Saya menyudahi artikel ini dengan slogan Komrad Che Guevara yang menyatakan perjuangan revolusi tulin didorong oleh perasan cinta yang mendalam.


Salam Revolusi


Karti

Pemuda Sosialis

4 comments:

  1. Karti,
    Nice review.

    I would like to join yours but I don't know how.

    Please,respond me.
    Tq.

    Nami.

    ReplyDelete
  2. I guess.. sosialis need to open up & expose
    I agree wit nami

    "I would like to join yours but I don't know how."

    ReplyDelete
  3. PSRM convert to PRM after nearly 20 yrs of learning. Comrads need 20 yrs to realise that The S (Socialist) is not relevence anymore! All of you wanted to be free as workers in Pemuda Sosialist (DAP Component) but cought at near communist light. Remember! Communism and Socialism never put any value to your personal selves. Pity you!

    ReplyDelete
  4. other people strive to win the election and some people being used by them...they call it war towards equalities...and you people buy it! hehe

    ReplyDelete