KENYATAAN AKHBAR
MANSUHKAN PTPTN!
PENDIDIKAN PERCUMA UNTUK SEMUA!
Pemuda Sosialis, Parti Sosialis Malaysia menyokong sepenuhnya usaha Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) bersama-sama dengan kumpulan mahasiswa lain untuk menganjurkan permimpunan memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi (PTPTN). Perhimpunan ini telah dijadualkan pada 14 April 2012 pukul 2 petang bertumpu di Dataran Merdeka.
Tujuan perhimpunan ini diadakan adalah dasar tidak percaya kepada kerajaan Malaysia dalam usaha memansuhkan PTPTN dan seterusnya membawa agenda pendidikan percuma. Tetapi, langkah-langkah ini langsung tidak diberi perhatian oleh pihak kerajaan.
Harus diperakui bahawa terdapat beberapa negara seperti Venezuela, Cuba, Argentina dan lain-lain lagi yang memberikan pendidikan percuma sehingga peringkat universiti. Selain itu, kebanyakan Negara-negara Eropah seperti Sweden, Finland dan banyak Negara lagi mampu menduduki tangga teratas di dunia dengan memberikan pendidikan yang berkualiti kepada rakyat.
Malaysia adalah sebuah negara dimana kerajaan memperoleh keuntungan yang tidak terhingga daripada pelbagai sektor. Keuntungan yang diperolehi dari Petronas dan hasil kutipan cukai pendapatan dari korporat dan kapitalis gergasi patut disalurkan dalam sistem pendidikan kita, tetapi itu tidak berlaku.
Pada 2011, semasa Dato Seri Najib membentangkan Belanjawan, beliau mengumumkan bahawa yuran sekolah dimansuhkan. Tetapi yang dimansuhkan hanya dalam lingkungan RM30 untuk sekolah rendah dan menengah. Tetapi realitinya, ia tidak mampu untuk meringankan beban sedangkan pelajar terpaksa berbelanja beratus-ratus ringgit untuk segala perbelanjaan sekolah. Keadaan menjadi lebih teruk bagi majoriti ibu bapa yang berpendapatan rendah.
Kita percaya bahawa pendidikan merupakan hak asasi setiap insan dan tidak harus diperniagakan. PTPTN merupakan satu beban yang sangat besar kepada mahasiswa apabila mereka menamatkan pengajian mereka.
Kami Pemuda Sosialis menyarankan agar PTPTN dimansuhkan secara segera dan mengimplimentasikan pendidikan percuma kepada semua. Kita berharap agar usaha-usaha seperti ini akan berlanjutan sehingga anak-anak muda mendapat hak mereka.