KENYATAAN AKHBAR
PEMUDA SOSIALIS
1 NOVEMBER 2011
AUKU BUKAN SEKADAR TIDAK SAH,
PERLU DIMANSUHKAN TERUS!!!!
Pemuda Sosialis menyokong keputusan Mahkamah Rayuan, semalam yang memberi penghakiman rasional kepada empat pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia yang lebih dikenali sebagai 'UKM4'. Pada April 2010 UKM telah mengenakan tindakan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) terhadap empat pelajar jurusan Sains Politik kerana menyertai kempen pilihanraya kecil Hulu Selangor. Keputusan berani Hakim Mohd Hishamudin Mohd Yunus dan Linton Albert amat dialukan kerana Mahkamah sendiri telah memutuskan bahawa Seksyen 15(5) AUKU) adalah tidak sah dan bercanggahan dengan Perlembagaan Malaysia yang mencabuli kebebasan bersuara.
Kini telah hampir 40 tahun mahasiswa ditindas dengan undang-undang AUKU. Walaupun Seksyen 15 dibuat pindaan, tetapi ia masih menyekat hak mahasiswa untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti luar dan kegiatan politik tanpa campurtangan pihak universiti. Peruntukan ini jelas bercanggahan dengan Artikel 10 Perlembagaan Malaysia yang mengiktiraf kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan. Lebih-lebih lagi umur 21 tahun sudah melayakkan seseorang individu untuk mengundi, maka di mana logiknya menyekat penglibatan mahasisawa dengan politik. Oleh itu Pemuda Sosialis bertegas Seksyen 15 AUKU dan undang-undang lain yang menyekat kebebasan mahasisawa harus dimansuhkan serta merta.
Mahasisawa adalah golongan yang mampu membawa perubahan dalam sesebuah negara. Malangnya mahasiswa hari ini, dijadikan patung boneka yang tidak mampu bersuara bagaikan ular yang tidak berbisa. Stigma political fear nyata sekali menjalar di kalangan mahasiswa. Mahasiswa takut berbicara. Mahasiswa dibutakan isu-isu semasa. Semua kejadian di sekeliling kita telah dipaksa untuk diinterpertasi mengikut telunjuk kuasa pemerintah. Akhirnya, mahasiswa dijadika satu produk yang diukir untuk kepentingan golongan pemerintah dan tidak dibenarkan berevolusi sendiri.
Maka, Pemuda Sosialis berharap, penghakiman yang berpihak kepada mahasiswa hari ini akan menjadi satu titik tolak untuk memansuhkan AUKU seperti ISA yang dimansuhkan baru-baru ini di bumi malaysia. Selagi adanya undang-undang seperti AUKU ia terus menjadi penghalang kepada negara untuk melahirkan mahasiswa yang matang, progresif dan berani bersuara. Bangkitlah kaum mahasiswa, mari bersama-sama kita menuntut supaya Akta Zalim AUKU dimansuhkan segera.
Dikeluarkan oleh Pemuda Sosialis